malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ras Adiba kecam dua lelaki persenda OKU
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

Tindakan dua lelaki yang 'berpakat' untuk menggunakan parkir yang dikhaskan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menarik perhatian Pengerusi Bernama, Rad Adiba Radzi hari ini.

Melalui media sosialnya senator itu menuntut kedua-dua lelaki terbabit memohon maaf kepada komuniti OKU di seluruh negara kerana mempermainkan golongan terbabit.

"Saya pohon kalian berdua meminta maaf kepada semua komuniti OKU di negara kita.

"Sudahlah kami susah... orang semua selalu memandang rendah terhadap kami dan menggunakan kemudahan yang disediakan khas untuk kami," katanya dalam satu klip video pendek petang ini.

Bekas wartawan dan penyampai berita itu berkata sambil menyertakan hantaran tersebut dengan satu klip video TikTok memaparkan dua pemuda yang mengaku berkunjung ke pusat beli-belah Midvalley di Kuala Lumpur.

Seorang daripada mereka kemudian mengeluh kerana menghadapi kesukaran mendapatkan ruang parkir di situ.

Namun dia dan seorang kawannya menunjukkan cara untuk mengatasi masalah tersebut, iaitu dengan berpura-pura menjadi OKU.

Menyusul selepas itu ialah aksi seorang pemuda yang berlakon dengan berjalan dalam keadaan tidak sempurna, diikuti dengan ketawa perakam video tersebut.

"Lepas ni kalau aku naik KL, aku tau dah," katanya sambil menyebut nama kawannya untuk memudahkan mendapat parkir.

Kata Ras Adiba, semua orang akan menjadi OKU pada suatu hari nanti.

"Jangan sekali-kali mempermain dan mempersenda kami. Sila pohon maaf kepada komuniti OKU," katanya.

Ras Adiba yang juga pengasas bersama NGO OKU Sentral turut menanda Polis Diraja Malaysia dalam hantaran tersebut.

"Ini kurang ajar namanya. Pohon minta maaf pada komuniti OKU!" tulisnya.

Lihat Komen