malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis sahkan Sajat ditangkap, sedang usaha bawa pulang
Diterbitkan:  Sep 20, 2021 4:13 PM
Dikemaskini: 12:01 PM
ADS

Polis Malaysia mengesahkan usahawan kosmetik Nur Sajat telah ditangkap oleh pihak imigresen Thailand, dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata Sajat ditangkap pada 8 September, lebih kurang pada jam enam petang kerana memiliki pasport tidak sah.

“Pada 9 September 2021 suspek telah dihadapkan ke mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda,” katanya.

Awal hari ini, media melaporkan Sajat, 36, ditahan imigresen di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang transgender warga tempatan.

Sumber memberitahu, ketika ditahan, Sajat hanya menunjukkan salinan pasport melalui telefon bimbit, yang kemudian didapati telah dibatalkan kerajaan Malaysia.

“Dia (Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian,” kata sumber.

Memetik sumber, Harian Metro melaporkan tangkapan itu dibuat susulan maklumat daripada polis Malaysia kepada pihak berkuasa Thailand mengenai tindakannya meloloskan diri ke negara Gajah Putih.

Selepas didakwa di mahkamah Thailand, Sajat dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang kenalannya.

Dia kini dikatakan masih berlindung di kondominium di tengah Bangkok dan diarahkan melaporkan diri ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari.

Sumber mendakwa rundingan agak sukar “tetapi optimis”, memandangkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu.

Sajat turut dilapor dikehendaki untuk perbicaraan di mahkamah syariah di Selangor kerana berpakaian wanita di Shah Alam pada 2018.

'Ingin dapat perlindungan Australia'

Sementara itu, akhbar sama melaporkan bahawa soal siasat imigresen Thailand, Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.

Sumber berkata, Sajat ingin ke Australia kerana mendapat ugutan bunuh selepas mengugut untuk keluar Islam selepas berdepan kes di mahkamah syariah, selain diburu lebih 100 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Australia, gambar hiasan

Dalam kenyataan sebentar tadi, Abd Jalil berkata suspek turut dikehendaki di Malaysia dalam kes dakwaan menghalang penjawat awam dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

Dia disiasat bawah seksyen 186 dan seksyen seksyen 353 kanun keseksaan.

“Usaha untuk membawa pulang suspek sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Lihat Komen