malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Buat bodoh-bodoh: Muhaya ambil tanggungjawab mohon maaf
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 9:02 PM
Dikemaskini: 2:38 PM
ADS

Penceramah motivasi, Dr Muhaya Mohamad, hari ini membuat permohonan maaf terbuka atas kenyataannya yang mencetuskan kontroversi sehingga mengundang kecaman baru-baru ini.

Tampil menjelaskan situasi itu, Muhaya berkata ia merupakan potongan klip video yang diterbitkan pada 6 Feb lalu melalui sesi siaran langsung di media sosialnya.

Membahasakan dirinya sebagai "Bonda" kata Muhaya secara keseluruhan video itu berdurasi 45 minit, manakala yang menjadi tular dan menarik perhatian ramai adalah selama 56 saat.

"Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan, keluarga yang mengambil inisiatif tabayun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada bonda atau pihak pengurusan bonda," katanya dalam satu kenyataan balas hari ini.

Jelasnya lagi, video tersebut merupakan sesi soal jawab di antara moderator, Abu Talib Husin, dan komen-komen di Facebook ketika siaran langsung Facebook berkenaan.

Dia yang kini dikenali sebagai pakar motivasi berkata pada hari tersebut mereka membincangkan isu berkaitan wanita yang berdepan dengan dilema di antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.

"Secara teknikalnya, ini video lama. Bagaimanapun bonda faham sekiranya video yang disunting menjadi 56 saat ini telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutamanya kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan," katanya.

Tambahnya, sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dia sentiasa menyokong dan mendoakan semua wanita berjaya ke puncak tertinggi serta berbahagia dunia dan akhirat.

Melalui video pendek yang tular dan mencetuskan perbalahan di antara penyokong dan pengkritik, Muhaya berpendapat wanita tidak perlu terlalu berusaha untuk menyaingi lelaki.

Dia sebaliknya berkata, lelaki akan menyukai seseorang wanita jika dia memiliki perwatakan lemah lembut serta bergantung harap pada bantuan pasangannya.

“So orang perempuan, walau macam mana you all, please, mesti kita celebrate apa yang Allah beri tentang kepimpinan lelaki. Imam pun lelaki. Nabi-nabi pun lelaki.

“Jangan sibuk nak liberate nak berdiri sama-sama lelaki, no. Nanti kamu sibuk nak buat apa yang lelaki nak buat testosteron meningkat dan bagi siapa belum kahwin, lambatlah jodoh,” katanya melalui video tersebut.

Lihat Komen