malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Di majlis serba putih, Neelofa dan PU Riz sah suami isteri
Diterbitkan:  Mar 27, 2021 12:49 PM
Dikemaskini: Mar 28, 2021 5:22 AM
ADS

Spekulasi perkahwinan pengacara dan pelakon Neelofa dengan pendakwah selebriti Haris Ismail akhirnya terjawab selepas pasangan itu dinikahkan hari ini.

Neelofa sah menjadi isteri Haris, atau lebih dikenali sebagai PU Riz, dengan sekali lafaz di sebuah hotel terkemuka di ibu negara kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, dinikahkan oleh adiknya, Mohd. Aqief Mohd Noor yang berwakil walikan bapa kandungnya.

Neelofa menerima mas kahwin sebentuk cincin. Jumlah hantaran pula dirahsiakan.

Neelofa dan Haris menzahirkan rasa syukur kerana majlis mereka berlangsung lancar seperti diharapkan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami.

“Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah, insya-Allah,” kata mereka.

Pasangan itu diraikan dalam majlis bertemakan putih dengan kira-kira 150 tetamu - yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan terdekat kedua-dua mempelai - turut mengenakan pakaian dengan warna itu.

Sebelum ini Neelofa ada membuat pendedahan melalui sebuah akaun Instagram menceritakan ciri-ciri jodoh yang dicari.

“Saya banyak doa soal jodoh. Saya selalu tulis doa saya. Saya bukan hanya mahu lelaki yang boleh bahagiakan saya, tapi berikan kebaikan dan boleh membimbing orang sekeliling.

“Itu sudah cukup buatkan saya gembira. Banyak mata yang memandang saya. Ramai menjadikan saya sebagai ikon. Hinggakan siapa pasangan hidup saya akan beri impak sangat besar kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Neelofa, sama seperti wanita lain, dia juga mengimpikan seorang lelaki beriman.

“Saya mahu lelaki yang beriman, berilmu, beramal, bijak, rajin dan bertanggungjawab. Saya rasa banyak perkara boleh diselesaikan dengan baik kalau dia tak lepaskan tanggungjawabnya,” katanya.

Sebelum ini, Neelofa mahupun Haris mengunci mulut mengenai tarikh perkahwinan mereka namun satu persatu petunjuk muncul. Antaranya jari neelofa yang berinai dalam satu perkongsian ketika dia mempromosikan produk makanan.

Bermula pada 2017

Neelofa dan Haris mengikat tali pertunangan sekitar November tahun lalu.

Neelofa juga berkongsi detik perkenalan antara dia dan suami yang bermula kira-kira empat tahun lalu.

“Saya mula mengenali Haris pada 2017. Sekitar bulan Jun kalau tak salah. Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek. Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.

“Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa.

“Dia juga pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen