malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Penunggang Agama ketuk hati Azira untuk berubah?
ADS

Membawa watak wanita bertudung dalam telefilem Penunggang Agama, Azira Shafinaz mengakui ada menyimpan hasrat untuk menukar penampilan seperti wanita Muslimah suatu hari nanti.

Pun begitu, kata penyanyi dan pelakon itu, dia tidak mahu terus melakukan perubahan mendadak, sebaliknya ingin terlebih dulu memperbaiki diri dalam segenap sudut sebelum memakai tudung.

"Dah tentu saya nak pakai tudung. Saya mahukan yang terbaik untuk diri sendiri. Tapi, saya tak mahu buat tindakan drastik.

"Bagi saya, apa yang penting ketika ini adalah naluri dan niat. Dan mungkin insya-Allah (pakai tudung) bila dah bersedia sepenuhnya. Mungkin sekarang belum sampai waktu lagi," katanya.

Pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan itu ditemui selepas tayangan Penunggang Agama di E Curve, Petaling Jaya semalam.

Dalam telefilem arahan Syafiq Yusof itu, Azira memegang watak Anna, isteri Amir, lakonan Zul Ariffin yang berdepan cabaran getir apabila ibu tiri suaminya itu mengalami gangguan mistik.

Selain Azira dan Shafinaz, Penunggang Agama yang dijadual menjengah pawagam Astro First bermula 25 Mac ini turut dijayakan Salina Saibi, Sabrina Ali, Jalaludin Hassan, Nurqaseh dan Johan As’ari.

Untuk rekod, seorang lagi anggota De Fam terlebih dulu memakai tudung iaitu Cik Manggis, atau nama asalnya Nurshazwani Shamsuddin.

Pada masa sama, Azira, 29, memohon agar semua pihak mendoakan dia mengikut jejak langkah Cik Manggis yang juga kawan baiknya itu.

"Doakan agar satu hari nanti saya berhijab sama macam Cik Manggis. Perkara ni ambil masa.

"Saya berharap orang dekat luar sana doa yang baik-baik untuk saya," katanya.

Lagi berita dari pengarang
Lihat Komen