malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zul Huzaimy, Syafinaz dilantik ahli lembaga pengarah baru Aswara
Diterbitkan:  May 14, 2020 1:28 PM
Dikemaskini: 5:29 AM
ADS

Pelakon Zul Huzaimy dan penyanyi Syafinaz Selamat dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Norliza Rofli turut dilantik mengisi jawatan sama.

“Tahniah diucapkan kepada Zul Huzaimy Marzuki, Syafinaz Selamat dan Norliza Rofli di atas pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan,” kata kenyataan itu.

Aswara dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Zul Huzaimy, 41 tahun bekas pelajar Aswara mempunyai pengalaman dalam bidang teater sejak 1997 dan pernah menjayakan beberapa filem dan drama tempatan.

Sebelum menjadi pelakon, beliau memulakan kerjaya awalnya di stesen televisyen pendidikan negara, TV Pendidikan milik Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Antara filem dilakonkannya adalah Embun, Lang Buana, KL Menjerit dan Remp-It. Pembabitannya melalui drama pula seperti Mengejar Pelangi, 30 Juzuk Cinta dan Suri Katriana.

Bakatnya diiktiraf di Festival Filem Malaysia ke-21 sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Selain itu, Zul adalah penerima Anugerah Khas Jiwa P Ramlee 2015 dan Drama Lakonan Radio Terbaik di Drama Festival Kuala Lumpur 2018.

Syafinaz, 47, pula graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang muzik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu memulakan karier nyanyian dalam industri hiburan sebagai penyanyi pop.

Antara pencapaian kerjayanya sebagai seorang penyanyi pop termasuklah satu pingat emas dalam kategori R&B/ Pop/ Rock/ Kontemporari semasa World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles pada tahun 1999, serta pencalonan sebanyak dua kali dalam Anugerah Industri Muzik bagi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik untuk dua buah album (Ingin Bersamamu-1999 dan Syyh-2001).

Pengetahuan serta pengalaman Syafinaz dalam dunia hiburan, seni suara dan persembahan juga telah menjadikan beliau antara juri popular yang sering diundang dalam pertandingan nyanyian dan program realiti.

Selain menyanyi, Syafinaz berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM dan Aswara selain berpengalaman sebagai penasihat dan master suara di Koir Kebangsaan Malaysia dan konduktor bagi kumpulan Permata Seni Koir.

Sementara itu, Norliza (gambar atas) pula mempunyai lebih 30 tahun pengalaman menggalas tugas pentadbir seni dan budaya. Dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang tetapi dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah, Norliza, 60, memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pengarah (Kebudayaan) di Sabah pada 1983.

Ketokohan Norliza terserlah dalam bidang itu apabila beliau menjadi individu yang bertanggungjawab merealisasikan penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada 1994 di bawah Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan. ASK kemudian berevolusi menjadi Aswara pada 1 Ogos 2006 melalui Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653).

Norliza juga ialah pakar rujuk terutama bagi program pemuliharaan seni dan budaya yang hampir pupus di negara ini. 

Beliau antara tokoh yang memartabatkan seni persembahan tradisional Mak Yong dan Mek Mulong di persada kesenian negara dan antarabangsa.

Lihat Komen