malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Elfira jual tudung sambil sumbang untuk mangsa Covid-19
Diterbitkan:  Apr 27, 2020 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM
ADS

Pelakon Elfira Loy mempunyai cara tersendiri untuk membantu mangsa Covid-19. Dia menggerakkan jualan amal tudung.

Demi mencapai maksud itu, Elfira - yang menjadi artis pertama disunting untuk bekerjasama dengan jenama tudung popular dari Indonesia, Buttonscarves - melancarkan projek terbarunya iaitu The Maharani Series bermula awal Ramadan ini.

Kata Elfira, 26, hatinya tersentuh saat inisiatif jenama tudung dari Indonesia yang bekerjasama dengannya mahu menghulurkan sumbangan kepada mangsa wabak Covid-19.

“Saya percaya setiap daripada kita boleh memainkan peranan dan menyumbang dengan pelbagai cara.

“Pada mulanya saya dapat tahu pihak mereka sudah menyalurkan bantuan di Indonesia termasuk mengagihkan topeng muka selain sumbangan lain.

“Kini ia dipanjangkan di Malaysia pula. Kita pun negara serumpun,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Elfira, apabila pihak jenama berkenaan membuat keputusan untuk terlibat dengan projek amal, dia melihat usaha itu sebagai satu langkah yang baik selain sangat bertepatan dengan situasi semasa.

Ada beberapa calon

Pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu juga berkata, kerjasama mereka tercetus dengan sekelip mata dan tanpa diduga. Malah ia bagai dirahmati dan dipermudahkan.

“Saya sudah empat tahun bertudung. Dalam tempoh itu sudah beberapa kali menjadi duta atau bekerjasama dengan jenama tudung.

“Saya pula gemar berfesyen dan menyesuai padan gaya bertudung,” katanya.

Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf yang berusia enam bulan itu, kerjasama berkenaan bermula daripada perbualan di kotak mesej langsung (DM) di Instagram.

“Dari DM, kami berlanjutan ke aplikasi WhatsApp. Pendek kata, dari awal lagi ia berjalan dengan lancar. Saya juga anggap ini rezeki anak sulung.

“Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia.

“Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya. Sesuai dengan nama koleksi ini, saya yakin mereka yang memakainya akan berasa seperti seorang ratu atau maharani,” katanya.

 

Lihat Komen