malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Seniman dikecam lepas minta pakej rangsangan dari kerajaan
Diterbitkan:  Mar 30, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:55 AM
ADS

Cadangan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, berhubung penggiat seni turut diberikan bantuan pakej rangsangan ekonomi banyak mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.

Antaranya, mereka mempertikaikan keperluan diwujudkan pakej rangsangan khusus buat penggiat seni sedangkan kerajaan sudah mengumumkan bantuan untuk diagihkan sama rata termasuk kepada golongan B40.

Pengguna akaun @Azrulmazwan Zainal misalnya berkata, sekiranya ada dalam kalangan penggiat seni terdiri daripada kalangan B40, mereka sepatutnya tidak terkecuali untuk menerima 'habuan' pakej rangsangan ekonomi yang dimaksudkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Golongan artis ni cerdik ke tak? Kerajaan kan dah umum bantuan untuk rakyat Malaysia. (Bagi) B40 dapat RM1,600, kalau rasa miskin mohon je la. Apa yang tak adilnya?

"Dengan Bank Negara Malaysia umum tangguh enam bulan pinjaman, korang (kalian) nak apa lagi sebenarnya?" katanya di ruang komen Facebook Seniman.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin berjumlah RM250 bilion yang dikatakan akan memberi manfaat kepada semua rakyat.

Daripada jumlah tersebut, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.

Minta bantuan e-tunai

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama sebelum ini, kerajaan bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang terbabir secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak. Ia ditingkatkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April hingga wabak berakhir.

Kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Rela yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan PKP.

Kerajaan juga akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40.

Ia antaranya menyebut RM1,600 akan disalurkan kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

Seniman pula baru-baru ini mencadangkan pakej rangsangan ekonomi bantuan Covid-19 dalam bentuk bayaran one-off buat penggiat seni. Usul itu dibuat melalui akaun Facebook rasmi mereka.

Cadangan kepada kerajaan itu - yang tular ketika ini - juga dibuat melalui agensi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Antara dicadangkan Seniman ialah, bantuan khas e-tunai atau tunai antara RM500 hingga RM1,000 bagi tujuan saraan barang keperluan rumah seperti beras, air mineral dan lain-lain sepanjang tempoh PKP.

Seniman juga mencadangkan Skim Kerugian Seni antara RM1,000 ke RM3,000 bagi meringankan beban mana-mana penggiat seni yang tidak bekerja akibat penangguhan penggambaran, promosi, persembahan dan lain-lain.

Tak semua hidup mewah

Bantuan RM1,000 juga dicadangkan agar disalurkan kepada penggiat seni yang tidak mempunyai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Sehingga laporan ini ditulis, cadangan tersebut menerima 2,000 tanda geli hati, 1,000 tanda marah, dan hanya 13 tanda suka serta 10,000 komen. 

Kenyataan dikeluarkan Seniman itu juga susulan luahan beberapa selebriti seperti Black Hanifah dan Tomok berhubung nasib menimpa artis veteran dan pekerja belakang tabir yang terjejas ekoran PKP.

Sama seperti Seniman, Black dan Tomok turut menerima kecaman ketika isu sama dipaparkan di dada media.

Netizen juga mempersoal jenis bantuan diminta Seniman khususnya membabitkan wang berjumlah RM1,000 dan ke atas. Bagi mereka, permintaan itu dianggap tidak bersesuaian dinyatakan ketika ini berbanding apa disalurkan kerajaan buat petugas barisan hadapan dalam usaha mengekang Covid-19.

"Adakah artis-artis tu sebaris dengan mereka ni? Jangan sampai artis Malaysia tak ada tempat lagi dalam industri seni.

"Berkuburlah korang, utamakan petugas hadapan yang banyak berkorban untuk masyarakat, korang artis buat apa?" kata pengguna akaun @Ramzi Ibrahim.

Bagaimanapun, melalui ruang komen dan hantaran berbeza, seorang pengguna akaun @Syed Ariff Fathillah berkata, tidak semua penggiat seni memiliki kehidupan mewah.

"Saya sokong (Seniman), mereka ingat semua artis sama senang. Nampak seorang dua saja mewah. (Sedangkan) ramai artis buat juga dua, tiga kerja untuk menampung keluarga," katanya.

Lihat Komen