malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Empat karya Ahmad Fuad mungkin kembali menjelma esok
ADS

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) dijangka akan mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan cadangan memasang semula karya seniman Ahmad Fuad Osman yang diturunkan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini hari ini.

Kata Muhammad Bakhtiar, anggota LPSVN akan bertemu esok bagi membincangkan isu tersebut dan melihat kemungkinan untuk menaikkan semula empat karya Ahmad Fuad.

Terdahulu, sepucuk surat yang dikatakan ditulis ahli parlimen Balik Pulau kepada Pengerusi LPSVN, Rashidi Hasbullah, beredar di media sosial dan turut dikongsi arkitek landskap, Ng Sek San, di Facebooknya.

Antara lain surat itu menggesa LPSVN mempertimbangkan cadangan agar karya Ahmad Fuad kembali dipamerkan kepada umum berdasarkan beberapa faktor.

Salah satu sebab mengapa ia perlu dikembalikan, kata kandungan surat itu, ialah karya tersebut sudah melalui proses kelulusan yang ditetapkan, selain asas yang menjadi alasan ia ditarik daripada pameran adalah tidak jelas serta tidak konsisten dengan konteks pameran secara keseluruhan.

Tindakan itu juga, katanya, dilihat sebagai langkah menyekat kebebasan ekspresi seni kreatif.

Muhammad Bakhtiar Wan Chik

LPSVN juga disaran segera mengeluarkan surat meminta maaf kepada seniman terbabit atas tindakan mereka menarik balik karya tersebut.

Untuk rekod, pameran At The End Of The Day Art Is Not Important itu bermula pada akhir Okt tahun lalu dan dijangka berakhir 20 Feb ini.

Tindakan menurunkan empat karya Ahmad Fuad dibuat hanya kira-kira 10 hari sebelum pameran itu tamat.

Tindakan tersebut mengundang kecaman dan kritikan pelbagai pihak, termasuk peminat seni serta ahli politik.

Empat karya yang diturunkan it berjudul Untitle 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain 2004 dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.

Semalam Balai Seni Negara mengeluarkan kenyataan mendakwa, langkah mereka menurunkan empat karya berkenaan dibuat bagi mengelakkan ia disalah tafsir.

Sementara itu Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad, berkata beliau tidak dapat memberikan kenyataan buat masa ini.

"Saya tak boleh komen. Perkara ini masih dalam perbincangan dan belum ada kata putus," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen