malaysiakini logo
story-image
ADS

Lagu Sumpah dinyanyikan Naim Daniel diumum sebagai Juara Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) dalam acara yang melabuhkan tirainya sebentar tadi.

Ia sekaligus mengakhiri debaran tentang penyanyi yang membawa pulang gelaran itu dalam pertandingan AJL34 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Naim membawa pulang hadiah wang tunai lumayan bernilai RM50,000, trofi serta baucar bernilai RM10,000.

Sumpah mendapat sentuhan Naim dan Omar K sebagai komposer manakala lirik oleh Naim sendiri.

“Terima kasih, ini untuk anda” kata Naim dalam ucapannya selepas lagu Sumpah dinobat sebagai Juara AJL34.

Naib Juara dimenangi Bangun hasil ciptaan Navigator manakala lirik oleh Aman RA dan dipersembahkan Aman RA. Penyanyi itu menerima hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik lagu Anta Permana hasil ciptaan komposer Hael Husaini dan Ezra Kong.

Penyanyinya, Bob Yusuf membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Persembahan vokal mantap Hafiz Suip sewaktu menyampaikan lagu Kisah Cinta Kita melayakkan penyanyi itu menyandang kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Persembahan Terbaik juga dirangkul Hafiz yang mempersembahkan lagu sama. Kemenangan itu melayakkan Hafiz membawa pulang wang tunai RM12,000, trofi dan lain-lain.

Bagi kategori khas Anugerah Pilihan Peminat Setel yang dipilih melalui undian dalam aplikasi Setel, bermula 30 Januari lalu hingga ke malam ini dimenangi Haqiem Rusli.

Kesemua 12 buah lagu yang bertanding dinilai oleh 10 barisan juri profesional yang diketuai oleh komposer dan penyanyi Ajai.

AJL34 yang dimeriahkan dengan tema Warna Warna Suara dihoskan oleh trio Haziq Hussni, Sherry Alhadad, dan Awal Ashaari.

Persembahan pembuka tirai AJL34 membariskan pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu Terdahulu seperti Liza Hanim, Misha Omar, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Lah Ahmad, Black dan Hazami.

Persembahan interlude AJL34 pula menampilkan karya-karya balada M Nasir yang disampaikan oleh Ameng Spring, Fredo, Hattan, David Arumugam, dan M Nasir sendiri.

Lagu-lagu seperti Sampai Hati, Kerana Kenangan Lalu, Memburu Rindu, Suatu Masa dan Srikandi Cintaku didendangkan pada segmen berkenaan.

Anugerah yang membariskan lagu-lagu terbaik tahunan itu berlangsung jam 9 malam dan dipancarkan secara langsung melalui TV3.

Terdahulu, 12 buah lagu terbaik melayakkan diri ke pentas akhir AJL34 selepas berentap di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 34.

Berikut senarai penuh finalis AJL34:

1.Drama
Penyanyi: Drama Band
Komposer: Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib
Penulis lirik: Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib

2. Ku Bersuara
Penyanyi: Ernie Zakri
Komposer: Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham
Penulis lirik: Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham

3. Anta Permana
Penyanyi: Bob Yusof
Komposer: Hael Husaini, Ezra Kong
Penulis lirik: Hael Husaini, Ezra Kong

4. Sumpah
Penyanyi: Aina Abdul
Komposer: Aina Abdul
Penulis lirik: Aina Abdul

5. Lembah Kesepian
Penyanyi: Haqiem Rusli
Komposer: Haqiem Rusli
Penulis lirik: Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran

6. Sumpah
Penyanyi: Naim Daniel
Komposer: Naim Daniel, Omar K
Penulis lirik: Naim Daniel

7. Peneman
Penyanyi: Hazama The Penglipurlara
Komposer: Tam
Penulis lirik: Tam

8. Dinda
Penyanyi: Kugiran Masdor
Komposer: Ali Sariah
Penulis lirik: Ali Sariah

9. Bangun
Penyanyi: Aman RA
Komposer: Navigator
Penulis lirik: Aman RA

10. Kisah Cinta Kita
Penyanyi: Hafiz Suip
Komposer: Ikhwan Fatanna, Ayden Ali
Penulis lirik: A. Aida

11. Ragaman
Penyanyi: Fairuz Misran
Komposer: Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo
Penulis lirik: Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan

12. Rampas
Penyanyi: Akim & The Majistret
Komposer: Hang Nadim, Laq
Penulis lirik: Bunga Cantik


Lihat Komen