malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Berita palsu koronavirus: SKMM siasat Zed Zaidi
ADS

Hantaran kontroversi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengenai koronavirus menyebabkannya hari ini dia disoal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hampir tiga jam.

Zed atau namanya Rozaidi Abd Jamil tiba di pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya kira-kira jam 3.20 petang tadi dengan ditemani peguamnya Zamri Idrus.

Ketika ditemui selepas disoal siasat, Zed mengesahkan dia ditanya mengenai suatu hantaran di media sosial yang dikatakan berkongsi imej “berita tergempar” didakwa daripada sebuah saluran media yang berbunyi: Semua negara mengharamkan pelancong China kecuali Malaysia).

Zed, 38, berkata, dia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa selain menggesa orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu hantaran di media sosial.

“Saya memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa. Kepada semua orang di luar sana, hati-hati apabila kongsikan sesuatu (di media sosial),” katanya ringkas.

Imej terbabit dimuat naik atas talian pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, pada bahagian atas kanan imej, jelas dipaparkan pautan URL breakyourownnews.com, iaitu sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna menghasilkan tajuk berita palsu yang dikehendaki mereka.

Bersebelahan hantaran tersebut, Zed juga memuat naik imej dirinya memakai topeng muka sambil diiringi petikan:

“Duduk malaysia pun tak selamat terpaksa pakai tutup hidung ni 24 jam dari influenza ke konovirus pula lepas ni tak tau apa bala lagi nak turun.

“Mesti Malaysia ada buat benda-benda tak baik ni... hmmm aku rasa rakyat je yang tau,” katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Zed menafikan jika dia tidak tahu imej dimuat naiknya itu adalah berita palsu.

Sebaliknya, dakwa Zed, dia sebenarnya mahu menunjukkan topeng muka yang baru dibeli.

Takkan saya tak tahu tu berita palsu. Saya cuba kaitkan imej berita berkenaan dengan imej saya memakai topeng muka,” katanya. 

Ditanya sekiranya anak guamnya itu sengaja bertindak demikian bertujuan mencetuskan perasaan panik dalam kalangan orang ramai, Zamri menafikan hal tersebut.

“Itu satu persoalan semata-mata dan lebih ke arah peribadi saja. Pihak kami punyai pandangan tersendiri. (Tapi) pandangan pihak berkuasa mungkin berbeza. Tiada niat untuk timbulkan panik,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen