malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kenapa MK K-Clique ‘langgar’ saja pakai rantai, gelang emas?
ADS

Anggota kumpulan Hip Hop, K-Clique, MK mengaku enggan menipu diri sendiri apabila bercakap soal minatnya terhadap perhiasan emas.

MK berkata, walaupun sedia maklum adalah haram bagi golongan lelaki memakai emas dalam Islam, dia tidak menganggap perkara itu sebagai kekangan untuknya terus selesa memakai perhiasan tersebut.

“Saya sedar dan tahu (salah di sisi hukum agama), tapi sebab minat, langgarlah (pakai juga).

"Bagi saya tu perkara biasa. Daripada jadi penipu, baik jadi diri sendiri. Sendiri mau tanggung, keep it real,” katanya.

Menurutnya, dosa ialah urusan peribadi yang ditanggung sendiri oleh pelakunya, justeru, sekiranya dia yang memakai emas, ia tidak wajar dijadikan penyebab dirinya dihukum oleh orang lain.

“Kita masing-masing adalah pendosa, jadi ini bukan sebab untuk netizen menjatuhkan hukum,” katanya.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan ditemui pada majlis Era Digital Music Awards 2019 (EDMA 2019) yang berlangsung di Battle Arena, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pada majlis itu, K-Clique membolot dua daripada lima kategori dipertandingkan iaitu Lagu Featuring Hit iaitu Mimpi (K-Clique feat Aliff) dan Rappers Paling Onz.

Terdahulu, peminat meluahkan perasaan kecewa di media sosial apabila sering kali melihat MK muncul melakukan persembahan sambil memakai rantai dan gelang emas.

Bagaimanapun, MK mendakwa, dia memakai barangan kemas tersebut hanya sewaktu terbabit aktiviti persembahan.

Mempertahankan perbuatannya itu, MK berkata, apa saja barangan kemas yang dipakai pada tubuh badannya bukan bertujuan mengajar peminat terutama yang berusia lebih muda untuk mencontohi perbuatan tersebut.

“Saya tak ada niat nak ajar benda tak baik pada sesiapa. Imej saya bukan bertujuan untuk memprovokasi peminat dan sebagainya.

“Jika nak katakan saya beri contoh tak baik, ramai lagi artis lain yang selalu berbuat perkara seperti tu tapi mengapa saya yang selalu mendapat perhatian,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkaitan EDMA, MK berkata, dia bersyukur menerima pencalonan kerana kumpulan itu tidak pernah bersaing dalam mana-mana acara penganugerahan sebelum ini.

“Alhamdulillah, rezeki atas pentas. Daripada kami bukan sesiapa sekarang sudah jadi terkenal,” katanya yang berazam agar kumpulan itu terus kekal relevan dalam industri.

Menerusi kategori Rappers Paling Onz, K-Clique menewaskan Zizi Kirana, Aman Ra, Bunga dan Kid Santhe.

EDMA 2019 dianjurkan stesen radio Era bertujuan menghargai bakat tempatan tanah air.

Lihat Komen