malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Talian hayat dan temasya seni catan
ADS

Semasa mula-mula ArtEdecor diperkenalkan, ramai kalangan pelukis sedikit skeptikal kepada acara tersebut.

Hal itu kerana penganjurnya bukanlah dikenali pelukis dan beliau muncul secara tiba-tiba dan agak agresif apabila 'menyerang' studio-studio artis untuk bertemu terus dengan pengkarya.

Beliau bertindak begitu untuk menerangkan dan memujuk para seniman terbabit supaya menyertai acara yang dianjurkan.

Perkara utama yang menjadi perbincangan ialah nama acara tersebut, iaitu ArtEdecor.

Para seniman berpendapat nama itu tidak sesuai untuk acara yang menggumpulkan artis seni halus kerana ianya adalah berlawanan dengan seni hiasan.

Namun demikian Nor Azmi Sulong - penganjur acara jualan seni catan yang terbesar selepas Artexpo itu - tetap bertegas mahu mengekalkan nama tersebut.

Beliau mempertahankan nama tersebut kerana yakin dengan pengalaman lebih 30 tahun mengadakan pelbagai acara.

Tahun ini adalah tahun ketiga pesta jualan hasil seni yang hanya dikhaskan kepada seniman yang berkarya dalam negara kita.

Bersemuka dengan peminat

ArtEdecor tidak mengundang seniman dari luar kerana ingin memberi keutamaan kepada anak tempatan.

Antara sebab mengapa Nor Azmi memulakan acara itu adalah kerana beliau melihat terdapat ruang yang perlu dipenuhi bila mana setelah menghasilkan karya, artis yang jarang berpameran tidak mempunyai tempat untuk menunjukkan hasil kerja mereka.

Lalu kerana itu beliau merasakan perlunya ada suatu badan yang - walaupun masih memikirkan keuntungan - menghubungkan pelukis dan khalayak ramai.

Maka wujudlah ArtEdecor. Ianya mengambil semangat Artstage di Singapura dan juga Artbasel di Miami.

Sebagai makluman, Artstage kini dihentikan sementara manakala Artbasel pula tidak hanya mengumpulkan pelukis yang mewakili diri sendiri. Para galeriwan juga turut mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Dengan adanya acara ArtEdecor, pelukis kini boleh bertemu secara terus dengan peminat seni catan. Ianya adalah peluang kepada orang ramai untuk mengambil bahagian dalam suatu temasya kesenian yang terbesar di negara ini.

Setelah dua tahun diadakan, para pelukis yang menyertai ArtEdecor berpendapat bahawa acara itu adalah talian hayat kepada mereka. 

Ini adalah kerana mereka sudah mempunyai ruang untuk mempamerkan hasil kerja masing-masing di samping menjadi acara yang mengumpulkan paling ramai pelukis pada satu masa.

Ianya menjadi tempat para seniman datang untuk memperagakan karya sambil berkenal mesra dan bertukar-tukar pandangan dengan orang lain.

Acara-acara seperti ini seharusnya diberikan sokongan oleh banyak pihak.

Walaupun ianya suatu perniagaan, namun usaha sebegitu banyak membantu para seniman terutama mereka jarang dipilih untuk menyertai pameran di galeri-galeri seni lukis.

Pada awal penubuhannya, ArtEdecor hanya mengenakan bayaran minimum kepada artis yang menyertainya. Maka mereka cuma membayar sekadar 10 peratus daripada bayaran yang dikenakan, manakala selebihnya boleh dijelaskan setelah acara tamat.

Janji mudahkan cara

Pelukis juga boleh menukar bayaran sewa tempat dengan lukisan mereka.

Hari ini - setelah dua tahun acara itu berlangsung - Nor Azmi berpendapat para seniman sudah mampu untuk membayar sepenuhnya sewa yang ditetapkan.

Namun begitu beliau menyatakan pintu rundingan mengenai sewa sentiasa terbuka. Beliau mengalu-alukan semua pelukis yang berminat untuk menghubungi beliau untuk berbincang.

ArtEdecor juga berharap persatuan dan kelab seni lukis yang ada di negera ini boleh turut serta dalam acara berkenaan. Dan beliau berjanji untuk memudahkan cara sesebuah persatuan atau kelab seni yang berminat menyertainya.

Pelukis-pelukis yang menyertai acara itu dari tahun pertama juga berpendapat Artdecor adalah suatu acara yang baik.

Selain menjual karya semasa acara berlangsung, terdapat pelukis yang mendapat tempahan tidak putus-putus sehinggalah Artdecor selesai.

ArtEdecor 2020 akan turut disertai oleh pelukis terkenal Fauzan Omar, Mohd Nor Mahmud, Fauzin Mustafa, Zaim Durul Aman, Ronnie Mohamad dan juga pelukis miniatur (lukisan bersaiz setem pos) Zaharin Mohammad.

Selain lukisan, terdapat juga acara perbincangan seni dan persembahan muzik serta teater sepanjang empat hari acara itu diadakan.

ArtEdecor 2020 akan bermula pada 5 Mac sehingga 8 Mac di Matrade Kuala Lumpur.


ABDULLAHJONES ialah pengasas studio lukisan Rajawali Art Groupe Internationale.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen