malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zynakal kesal kasari pekerja stesen minyak
ADS

Berazam untuk memperbaiki hubungannya dengan orang lain, penyanyi dan komposer Zynakal mengaku dia menyesal dengan tindakannya mengasari pekerja sebuah stesen minyak tahun lalu.

Kata Zynakal atau Zyn, insiden terbabit - yang mempunyai kaitan dengan penyakit mental dihidapi - juga menyebabkan dia menyepi seketika dari radar industri hiburan akibat mengalami tekanan perasaan.

"Rasa menyesal sangat. Saya hancur disebabkan diri sendiri," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Raziq Rosli itu, dia banyak berdoa ketika menunaikan umrah pada Oktober lalu, agar hasratnya untuk berubah dimakbulkan.

"Saya harap tahun 2020 ni boleh berubah jadi lebih baik terutama hubungan dengan sesama manusia," katanya lagi ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbarunya Sakit di pejabat Indigital Music di Damansara Perdana, Selangor semalam.

Lagu yang menerima empat juta tontonan selepas tiga minggu disiarkan di YouTube itu juga mendapat sentuhan penyanyi dan komposer Yonnyboii.

Mengulas lanjut, Zyn mendakwa dia pada awalnya langsung tidak menyedari mengidap penyakit bipolar mania.

"Sebelum kejadian bergaduh tu memang tak tahu, tapi kawan-kawan desak pergi ke hospital sebab mereka tengok keadaan saya seolah-olah tak tentu arah.

"Saya disahkan mengidap penyakit berkenaan dan perlu menjalani rawatan dua minggu," katanya yang pada masa sama menyangkal dakwaan netizen dia pernah mengambil bahan terlarang.

Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Majistret Ampang memerintahkan penyanyi Terbang terbabit membayar denda RM2,800 selepas dia mengaku bersalah mencederakan warga Bangladesh, Ahmad Mostak.

Zyn juga mengaku bersalah menghalang tugas polis dalam kejadian sama yang berlaku di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang, pada 28 Ogos lalu.

Sementara itu, Yonnyboii yang turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan berkata, Sakit adalah karya yang ditujukan khas buat Zyn kerana simpatinya terhadap situasi yang didepani rakannya itu.

Katanya, lagu berkenaan juga pada awal dihasilkan sendirian dan bukan secara kolaborasi.

"Tajuk asal Sakit sebenarnya Zyn Jangan Sedih. Lagu ni ikhlas saya cipta untuk Zyn, harap dia tahu mana nak mengadu. Jika 'sesat' saya sentiasa ada untuk membantu.

"Selepas didengari, Zyn kemudian tunjuk minat untuk berkolaborasi dalam lagu berkenaan," katanya lagi.

Lihat Komen