malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Maszlee puji Ejen Ali - Bayangkan pemikiran anak kita lepas tontonnya
Diterbitkan:  Dec 15, 2019 12:33 PM
Dikemaskini: 4:39 AM
ADS

Selepas menonton Ejen Ali The Movie semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tidak mengambil masa yang lama untuk berkongsi pandangan tentang filem yang kini hangat diperkatakan, dengan tumpuan kepada aspek pendidikan terutama kanak-kanak.

"Bayangkanlah bagaimana anak-anak kita yang pulang dari menonton filem ini akan mula berfikir? Bayangkanlah kalau filem-filem sebegini lebih banyak ditayangkan?

"Saya yakin, anak-anak kita akan lebih cepat mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), berfikir secara kritis dan kreatif, dan yang paling penting, mereka akan lebih matang dalam melihat realiti kehidupan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi gambar tayangan semalam, yang turut disertai ketua setiausaha dan timbalan ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, serta ketua bahagian dan kakitangan kementerian itu.

Menjengah pawagam sejak 28 November lalu, filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation mengungguli carta tempatan dan mencapai tahap pecah panggung apabila meraih jualan tiket lebih RM20 juta setakat 12 Disember lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menghadiri sesi tayangan khas filem itu pada 10 Disember lalu, dan menyifatkannya sebagai setaraf dengan animasi antarabangsa dan perlu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Maszlee memuji Ejen Ali The Movie yang menurutnya mempunyai asas falsafah yang kuat dan membangkitkan persoalan yang besar seperti isu kelas masyarakat, di sebalik genre filem animasi yang biasanya dilihat sebagai karya ringan.

"Saya sentiasa percaya bahawa karya seni seperti filem mampu menjadi alat pendidikan yang sangat berkesan.

"Lihatlah bagaimana persoalan yang telah dikemukakan oleh ramai ahli falsafah sepanjang sejarah seperti Nietzsche, Fukuyama, Karl Marx, Chomsky dan ramai lagi, telah berjaya diadun dengan baik dalam plot filem Ejen Ali," katanya.

"Dialog-dialognya bukan lagi superfisial, malah menawarkan wacana yang cukup mendalam. Perkembangan wataknya juga rumit, persoalan-persoalan tentang kebaikan dan keburukan juga sangat berjaya dipersembahkan," katanya lagi.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu memang dikenali sebagai peminat filem dan sering mengaitkannya dengan pendidikan.

Pada September lalu, beliau menyatakan harapannya agar filem Tamil, Raatchasi, dapat memberi inspirasi kepada guru untuk memainkan peranan melaksanakan perubahan dalam sistem pendidikan.

Dalam hantaran hari ini, Maszlee mengucapkan tahniah kepada pasukan produksi Ejen Ali The Movie yang menurutnya berjaya membuktikan filem animasi tempatan mampu bersaing dengan terbitan dari Hollywood.

"Secara terbuka di sini, saya salut dan kagum dengan tim produksi yang telah berjaya menghasilkan filem yang sangat hebat begini

"Filem ini akhirnya memberitahu kita bahawa kebaikan tidak diukur berdasarkan siapa kita, dari mana kita, tetapi diukur oleh niat dan tujuan dalam diri.

"Selamat menonton kepada yang masih belum menonton, dan selamat menitiskan air mata," katanya lagi.

 

Lihat Komen