malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiga filem cereka digital berentap di Finas
ADS

Tiga filem cereka digital termasuk ' Motif' arahan Nadiah Hamzah akan berentap merebut Anugerah Filem Cereka Digital Terbaik pada Malaysian Digital Film Awards atau Anugerah Filem Digital Malaysia (MDFA) 2019 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang hari ini.

Dua lagi filem ialah 'Shadowplay' dan 'Dia dan Ia'.

Pengerusi MDFA, Dr. Mahadi J. Murat berkata senarai calon akhir untuk setiap kategori anugerah dibuat berdasarkan penilaian panel juri dan bukan melalui pencalonan oleh peserta seperti anugerah lain.

"Berdasarkan senarai penyertaan, panel juri akan menonton semua filem dan akan menentukan filem yang layak dimasukkan dalam senarai akhir untuk mana-mana kategori," katanya dalam kenyataannya kepada Bernama di sini hari ini.

Mahadi berkata untuk penganjuran kali ke-4 ini, panel juri MDFA telah menilai 85 penyertaan untuk 16 kategori anugerah antaranya Filem Cereka Digital Terbaik, Filem Pendek Digital Terbaik, Dokumentari Digital Terbaik, Animasi Digital Terbaik, Video Muzik Digital Terbaik dan Pengumuman Khidmat Awam (PSA) Terbaik.

"Yang menarik kali ini, tiga daripada lima PSA dalam senarai pendek PSA Terbaik adalah terbitan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau AKPK," kata Mahadi yang juga Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta).

Turut dianjurkan secara serentak dengan MDFA ialah Young Filmmakers Forum atau Forum Pembikin Filem Muda (YFF) yang membincangkan pelbagai isu mencakupi industri perfileman digital.

Mahadi berkata, YFF kali ini menampilkan tiga pengarah muda iaitu Ineza Roussille (pengarah ‘M for Malaysia’), Muzzamer Rahman (pengarah ‘Prebet Sapu’) dan Nadiah Hamzah (pengarah ‘Motif’).

MDFA dianjurkan sejak 2013 oleh Semesta dengan kerjasama Finas.

Antara pemenang terdahulu ialah Ellie Suriati Omar dengan filem ‘Penanggal’ yang dipilih sebagai Filem Cereka Digital Terbaik dalam MDFA 2013.

- Bernama

Lihat Komen