malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau kurang menyengat, kalau tersingkir lagi sedih
ADS

Prestasi Wann dalam Gegar Vaganza musim keenam (GV6) nampaknya selalu turun naik.

Kali terakhir dia berada di kedudukan tiga terbaik adalah pada minggu pertama GV6 dengan menyanyikan Bossanova, dan minggu ketiga menerusi lagu Asmaradana (nyanyian asal Tiara Jacquelina).

Malah, penyanyi lagu Darah Muda itu pernah menerima nasib malang di minggu lima apabila berada di kedudukan tercorot selepas menyanyikan lagu Terlalu Memuja dendangan asal Wany Hasrita.

Mujur tuah menyebelahi Wann apabila tidak ada penyingkiran pada minggu itu.

Ditanya mengenai prestasinya, Wann berkata dia tidak mahu berasa terlalu sedih kerana pada setiap minggu dia cuba memberikan yang terbaik.

Dengan rezeki yang masih memihak kepadanya, Wann jelas sangat bersyukur.

"(Penyanyi) yang tak lepas, lagi sedih, kan?

"Pada minggu kelapan, saya di tempat kelima, jadi selepas ini saya cubalah... dapat nombor empat pun, jadilah," katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media di akhir konsert minggu kelapan GV6 di Shah Alam, Ahad lalu.

Pada malam itu, Wann menyanyikan lagu Wajah Rahsia Hati dendangan asal penyanyi Shiela Majid yang kemudian dipopularkan Fauziah Ahmad Daud.

Namun persembahan Wann kurang menambat perhatian empat juri yang ada iaitu Ramli M S, Hetty Koes Endang, Fauzi Marzuki dan Ahmad Tamimi Siregar.

Kata Wann dia tidak mahu memikirkan sangat mengapa dia berada di kedudukan rendah kerana matlamatnya menyertai GV6 hanya untuk menyanyi.

"Saya tak fikir nak menang sebab saya cuma nak naik pentas. Dah lama tak menyanyi. Jadi bila dah lepas ke minggu berikutnya, itu dikira bonus untuk saya," katanya.

Berpeluang mara ke pusingan suku akhir GV6 minggu hadapan, Wann ditugaskan untuk menyanyikan lagu Hitam Putih Kehidupan nyanyian asal Sheila Majid.

"Saya minat menyanyi. Ini kerjaya saya, jadi saya cuba yang terbaik. Kalau bukan ini rezeki saya (jika tersingkir) mungkin ada yang lain," katanya. 

Lihat Komen