malaysiakini logo
story-image
ADS

Dunia hiburan tanah air kehilangan seorang lagi penyanyi era 1980-an yang berbakat besar, Nassier Wahab.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Hanafiah mengesahkan Nassier menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.45 pagi tadi di Hospital Universiti Malaya Specialist Centre, Kuala Lumpur.

Penyanyi lagu Bayangan Wajah Duka itu berusia 57 tahun.

“Dukacita dimaklumkan bahawa industri hiburan negara kehilangan seorang lagi penyanyi hebat era 1980-an serta mempunyai bakat besar dalam bidang muzik tanah air iaitu Nassier Wahab.

“Seniman menyifatkan pemergian mengejut Nassier sebagai kehilangan besar kepada industri muzik tanah air disebabkan bakat serta kebolehan yang beliau ada amat berharga.

“Jenazah Nassier akan di bawa ke rumahnya di Klang Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilik nama sebenar Mohd Nasir Abd Wahab itu pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri 1 Jun lalu.

Dia mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu mengalami sakit gusi. Kanser gusi mula dikesan selepas Nassier mencabut gigi empat tahun lalu.

Pembantu peribadinya Aliff Salim berkata, Nassier hanya mengambil pil penahan sakit apabila diserang penyakit berkenaan.

Menurut BH Online, Aliff berkata Allahyarham meninggal dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

"Selepas pengesahan 1 Julai lalu, arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kemoterapi.

"Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam).

"Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak," katanya seperti dipetik.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Batu Belah Klang sekitar jam 8.30 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah Klang kira-kira jam 9.30 pagi ke 10.00 pagi.

Nassier meninggalkan isteri, Fatimah Abd Rauf dan seorang anak perempuan, Intan Najihah, 22.

Dia pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) pada tahun 1987 dan 2004.

Selain itu, dia juga memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Joseph Chamberlain Collage Birmingham United Kingdom.

Lagu popular lain yang pernah didendangkan Nassier adalah Memori Cinta Luka, Sebuah Janji Tak Bererti, Sekali aku Jatuh Cinta dan Undangan Rindu

Lihat Komen