malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jalil tak kisah jadi kambing hitam demi hak pelakon
ADS

Andainya kelantangan bersuara untuk memperjuangkan hak anak seni boleh mengakibatkan dirinya dipulaukan - misalnya tidak lagi menerima sebarang tawaran lakonan - Jalil Hamid bertegas: dia tidak lagi peduli.

Bagi aktor serba boleh itu, dia akan tetap bersuara dan menegur apabila perlu kerana mungkin ada pelakon senior lain yang bimbang punca rezeki mereka akan terjejas kalau bersikap kritikal.

“Saya akan terus bersuara asalkan puas hati. Tak pernah terfikir nak berhenti daripada perjuangkan hak.

"Hak kita, gasaklah, kalau orang nak pulau, nak apa pun, terserah.

“Ada juga orang fikir, kalau bersuara lantang macam ni mereka tak yakin nanti boleh dapat rezeki, maka tak apalah… biar saya yang bercakap,” katanya kepada Malaysiakini.

Tahun lalu, Jalil, 62, meluahkan perasaan kesalnya secara terbuka apabila sebuah produksi mendekatinya dan menawarkan bayaran RM1,500 untuk watak utama dalam sebuah drama. 

Rentetan daripada episod itu, pelakon Lelaki Harapan Dunia yang ditemui baru-baru ini berkata, dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon selama tujuh bulan.

Ada masalah pada kaki

Menurut Jalil yang beberapa kali dicalonkan sebagai pelakon lelaki terbaik untuk filem dan drama, suatu ketika dulu dia hampir mengundur diri daripada kerjayanya sebagai pelakon kerana dirinya disifatkan kurang mempunyai nilai komersial.

Namun dia berkata, semangatnya kembali hadir apabila komposer Azmeer menawarkan untuk merakam sebuah lagu komedi, Ayam.

“Saya hampa dengan perjuangan hidup saya tapi dengan lagu Ayam, nama naik semula dan ada ruang bertahan hingga ke hari ni,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang empat dekad berkecimpung sebagai anak seni, Jalil pernah menerima lapan anugerah, antaranya Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1995.

Jalil juga pernah terlibat dalam pertandingan siri realiti Maharaja Lawak.

Menurut Jalil, bagi meneruskan kelangsungan hidup sewaktu tidak ditawarkan berlakon, dia membantu anak ketiganya, Muhammad Harith, 29, menjual makanan.

“Tolong dia berniaga nasi ambeng dan soto tapi ni hanya melalui pesanan dan dihantar di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur. Disebabkan kos mahal, kami hasilkan jika ada tempahan saja," katanya.

Menurut Jalil lagi, kebiasanya isterinya yang memasak, tapi kini ada masalah ketumbuhan pada kaki dan perlu dibedah. Jika mahu menjalani prosedur itu di hospital swasta, Jalil memerlukan kos sehingga RM25,000.

Justeru, katanya, dia memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan saja.

Lihat Komen