malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mengingat lupa kes bunuh, misteri negara
ADS

ULASAN BUKU | Manusia ini pelupa sifatnya - dan jika ada yang memang terlupa, hal itu diingatkan semasa anda semasa membaca naskhah ini.

Manakan tidak, kes-kes yang pernah membikin gempar satu negara ketika zaman kanak-kanak dahulu, rupa-rupanya sekarang ada yang telah dimamah lupa.

Menyelak dari bab ke bab buku ini, ada beberapa kes terasa seperti tidak pernah diketahui. Sampai di pertengahan bab, barulah tersedar, “Oh… aku pernah tengok berita kes ini dulu”.

Membaca Malaysian Murders and Mysteries ini ibarat duduk di dalam kereta api laju, dan pembaca dibawa merentasi beberapa lokasi tanpa berhenti di mana-mana perhentian.

Jadi, pembaca bukanlah dibawa meneroka secara terperinci keadaan di setiap lokasi, tetapi sekadar melintas laju, memandang imbasan peristiwa sekadarnya sahaja, tetapi cukup untuk membuat diri yang lupa, kembali teringat-ingat.

Untuk beberapa bab pertama, rata-rata pembaca mungkin hanya akan teringat pengalaman terbaca kisah JWW Birch, Sir Henry Gurney atau Sir Duncan Stewart dalam buku teks sejarah sekolah menengah.

Tapi bab-bab selepas itu, pembaca tak dapat tidak akan terimbau-imbau, memandangkan kebanyakan kes yang dipilih memang pernah mendapat tempat di muka depan surat khabar ketika zaman terjadinya dulu.

Dapat meneka maksud penulis

Jadi pernyataan kulit depannya tidak menipu, memang 42 kes di dalam naskhah ini betul-betul merangkumi sela masa lebih “100 tahun” - walaupun pembaca mungkin terlepas pandang pernyataan tersebut kerana susun atur kulit depan yang serabut.

Lebih menarik, ia turut mempunyai komentar beberapa individu, baik pakar-pakar sejarah, peguam, pegawai polis, dan wartawan yang terlibat secara langsung dengan kes-kes yang berlaku.

Malah, kedua-dua penulis buku ini - Martin dan Andrew - merupakan wartawan senior (kini kedua-duanya bertugas sebagai penolong pengarang dan penyunting), dan salah seorang daripada mereka memang pernah bertugas lama di meja jenayah.

Secara umum buku ini - seperti judulnya - menyampaikan kes pembunuhan serta misteri di Malaysia yang pernah menjadi buah cakap rakyat.

Ia termasuklah pembunuhan ketua polis negara yang ketiga, pegawai bank BMF di Hong Kong, Altantuya Shaariibuu, Nurin Jazlin dan sebagainya.

Juga dimasukkan jenayah pembunuh oleh Mona Fandey, Botak Chin, geng kongsi gelap, Bentong Kali dan lain-lain, serta tragedi MH370 dan MH17, amukan Prebet Adam, kes liwat Anwar Ibrahim, Al-Maunah dan banyak lagi.

Namun menerusi konflik sepunya yang timbul dalam sebahagian besar kes, pembaca pasti dapat menebak tujuan sebenar penulis menyiapkan buku ini, dan apa yang ingin mereka sampaikan.

Subteks naskhah ini agak nyaring melaungkan tentang persoalan ketidakadilan - atau keadilan yang dilihat tidak tertegak, terutamanya - namun tidak semestinya melibatkan ahli politik berpengaruh.

Di tempat-tempat tertentu, ia mempersoalkan badan kehakiman. Di tempat-tempat lain pula, ia mempersoalkan tentang ketidakcekapan, atau ketidakbolehpercayaan agensi penguatkuasaan.

Hal itu disentuh dalam banyak kes, antaranya pembunuhan Hasleza Ishak, Altantuya, Sosilawati Lawiya, Hussain Najadi, Kim Jong-nam dan lain-lain; kem penempatan sementara dan kubur Wang Kelian; penculikan pastor Raymond Koh; kes rogol gadis bawah umur melibatkan seorang ahli politik; dan pengurangan hukuman seorang menteri yang didapati bersalah membunuh dan sepatutnya dihukum mati, sebelum akhirnya diampunkan dan dibebaskan.

Senang hadam cerita

Namun, 'suara' penulis kedengaran lantang sekali apabila menyentuh tentang kes kematian dalam tahanan, dengan mengimbau kematian beberapa individu seperti mendiang A Kugan, B Prabakar dan S Balamurugan.

Kebimbangan dan kekecewaaan penulis tampak ketara dalam bab itu. Begitu juga harapannya agar keadaan boleh berubah menjadi lebih baik.

Kesedihan penulis turut dibiar tidak berselindung dalam bab kematian Teoh Beng Hock. Lebih-lebih lagi, dinyatakan bahawa mendiang Teoh merupakan rakan kepada salah seorang penulis. Teoh sendiri merupakan bekas wartawan sebelum menjadi setiausaha politik.

Untuk rekod, Teoh mati ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.

Martin (kiri) dan Andrew

Jika ketika membaca anda berasakan ada sisi cerita yang tercicir yang dapat anda temui daripada sumber bacaan lain, perlu diingatkan, kes-kes ini dipadatkan dalam beberapa muka surat sahaja.

Namun, ia sedikit pun tidak mengurangi nilai naskhah nonfiksyen ini yang ditulis dengan baik.

Naskhah ini mempunyai kandungan yang menyenangkan, dan dengan itu, mampu membuatkan pembaca menghadam cerita di dalamnya dengan lancar dan laju. Biarpun tidak ditulis terlalu terperinci, ia mengandungi maklumat yang cukup bagi membantu pembaca membuat kajian lanjut.

Maknanya, dalam setiap bab pembaca mempunyai cukup kata kunci untuk membuat carian di Google, jika anda berminat terhadap mana-mana kes.

Namun, secara peribadi potensi naskhah ini dibimbangi mungkin ditenggalamkan oleh kulit depannya sendiri. Lihatlah sendiri, dengan susun atur dan warna sebegitu, ia berjaya - dengan cemerlang sekali - menenggelamkan tulisan penting (termasuk judul) yang tercetak di kulit depan.

Ada kalanya, apabila memandang kulit depan, yang terhadam di otak cuma perkataan “Malaysian” dan “shocking cases” sahaja. Hanya tiga perkataan itu, daripada 42 perkataan di kulit depan.

Sedangkan orang biasanya berselera untuk membeli buku akan menilai berdasarkan kulitnya dahulu.

Hati boleh terjentik

Saya agak pasti bahawa 42 perkataan di kulit depan itu - yang sama banyak dengan 42 bab dalam naskhah ini - hanyalah suatu kebetulan yang mustahil disengajakan, jika dinilai daripada keserabutan kulit depan yang nampak seperti dipaksa-paksa.

Alangkah molek kalau kulit depannya direka susun dengan lebih baik, tidak berkecamuk, dan lebih bijak. Barulah padan dengan kandungan yang dibawa naskhah ini.

Berbalik kepada kandungan buku ini, daripada 42 kes yang dihidangkan, sukar untuk memilih mana yang paling menarik. Hal itu kerana setiap satu kes pernah meninggalkan kesan besar dalam diri rakyat Malaysia.

Justeru, saya memilih untuk berkongsi petikan yang paling saya ingati dalam buku ini.

Satu, kenyataan mendiang Karpal Singh ketika mengulas tentang gerakan Al-Maunah. Katanya, kes itu “sangat aneh” jika dinilai aturan kejadian serangan sehinggalah berlakunya pertempuran.

Untuk rekod, Karpal ialah peguam yang mewakili Mohamed Amin Mohamed Razali, ketua kepada gerakan tersebut yang melakukan serangan di kem askar wataniah pada 2000 dan melarikan sejumlah senjata api dari situ, sebelum bertempur dengan tentera dan polis.

“Saya mahu menyelami fikiran Amin, dan menggali apa dia fikir terhadap perkara yang telah dia lakukan, tapi saya tak mampu menembusi pemikirannya yang paranoid.

“Pada pandangan saya, ia (pemberontakan itu) adalah sebahagian daripada cubaan merampas kuasa. Mereka dah buat bahagian mereka, dan menunggu tindakan lanjut (oleh pihak lain), tapi ada orang kecut perut (dan menarik diri)”.

Kedua, nota prebet Adam di cermin bilik hotelnya sebelum amukannya. “Malam sial untuk Adam. Membunuh, dibunuh, atau bunuh diri."

Biarpun sudah diketahui ramai sebelum ini, setiap kali membaca semula coretan itu, hati pasti terjentik.

Membaca buku ini, perasaan pembaca mungkin akan terbelah bahagi, seperti kesimpulan ringkas yang dibuat penulis dalam ruangan kesimpulan (verdict) di akhir setiap bab.

Ada kalanya, anda mungkin berasa kes yang terjadi itu hanya satu kebetulan, seperti verdict penulis dalam kes kehilangan jutawan AS di dalam hutan: “Penyelesaian yang paling ringkas itu adalah yang betul. Thompson berjalan-jalan, dan mati dalam keadaan tubuhnya tak dapat ditemui”.

Atau berasa marah kerana orang yang bersalah akhirnya dibebaskan, seperti verdict kes pembunuhan adik B Balasundram: “Pembunuh kejam didapati bersalah, tetapi hukumannya dikurangkan, dan dia kini bebas setelah merampas kehidupan adik Bala ...”.

Atau berasa tidak puas hati kerana seringkali “orang penting” dalam sesuatu kes selalu terlepas, seperti verdict kes pembunuhan Hasleza Ishak: “Seperti dalam kes lain, nampaknya orang suruhan dipenjarakan, tapi dalangya bebas daripada pengadilan.”

Atau kita akan terus tertanya-tanya dan cuba merungkai misteri biarpun tahu kita tidak akan menemui jawapan sampai bila-bila. Seperti verdict kes kehilangan pesawart MH370: “Tiada penjelasan jelas tentang apa sebenarnya terjadi, dan kita mungkin terpaksa menerima hakikat bahawa tidak ada (penjelasan) seumpamanya”.

  • Judul: Malaysian Murders and Mysteries: A century of shocking cases that gripped the nation
  • Penulis: Martin Vengadesan dan Andrew Sagayam
  • Penerbit: Marshall Cavendish Editions
  • Tebal: 235 halaman
  • Harga: RM39.90
Lihat Komen