malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengkritik mungkin ambil kesempatan kecam Hans Isaac
ADS

Isu seseorang pelakon muda disolek menjadi tua bukan sesuatu hal yang baru kerana sudah diluahkan banyak pihak sebelum ini, kata pelakon veteran Ahmad Tarmimi Siregar.

Bagaimanapun, katanya, isu itu kemudian menjadi panas apabila dibangkitkan Hans Isaac, yang kebetulan tidak disenangi sesetengah pihak dalam dunia hiburan.

Dengan itu, kata Ahmad Tarmimi, kenyataan Hans Isaac itu membuka peluang kepada mereka untuk menghentam Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terbabit, dan keadaan diburukkan lagi apabila ia gagal difahami mengikut konteks sebenar sehingga mengelirukan banyak orang.

“Soal ni dah lama diperkatakan di media massa, tapi tak diambil peduli.

"Apabila Hans Isaac nyatakan secara ringkas dan pendek isu itu, maka berlakulah peluang jadi bahan berita.

“Orang yang suka akan faham, yang tak suka pula akan spin seboleh mungkin, maka jadilah polemik.

"Kemudian apabila perkataan melarang itu jadi 'hukum' maka parahlah jadinya. Yang tak suka Hans Isaac pun mungkin ramai, maka peluang ni diambil sebaik mungkin," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun beliau yang dikenang ramai sebagai pelakon Abang dan Matinya Seorang Patriot itu mengakui, andaian berkenaan mungkin kurang tepat.

Muda pun ada lupa

Menurut Ahmad Tarmimi, 69, apabila sesuatu perkara ditanggapi dengan sudut pandang yang kecil, maka kefahamannya turut jadi berbeza daripada maksud sebenar.

“Kenyataan Hans Isaac itu cuma peringatan (syarat), supaya dibuat atas kewajaran cerita dan logik visual.

"Saya sendiri ada di situ ketika Hans Isaac menyatakan pendapatnya. Secara peribadi, saya faham maksud dia,” katanya.

Terdahulu, nama Hans Isaac dikecam banyak pihak selepas dia mengumumkan syarat baru yang dikuatkuasakan ke atas stesen televisyen bermula 1 Jan tahun depan.

Syarat berkenaan - yang melarang setiap drama mahupun telefilem menampilkan watak muda dimekap menjadi tua - sebenarnya bertujuan menjaga hak dan kebajikan pelakon senior.

Norlia Ghani

Baru-baru ini, bagi menjawab kontroversi membabitkan kenyataan diumumkannya itu, Hans Isaac menjelaskan syarat berkenaan sememangnya bukan mutlak.

Tegas Hans Isaac, syarat berkenaan juga dibuat stesen penyiaran dan bukannya keputusan Finas.

Berkenaan Finas tidak wajar mengangkat isu remeh pula, Hans Isaac berkata, berikan masa untuknya kerana sesuatu isu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh drastik.

Sementara itu, Norlia Ghani, 69, berkata tidak wajar sesetengah pihak mendakwa sukar untuk menggaji pelakon veteran hanya atas alasan mereka sukar menghafal skrip.

Menurut aktres tersebut, pelakon muda juga sebenarnya tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan sama.


Baca Tak gamak suruh pelakon veteran tunggu berjam-jam


“Yang tak ingat dialog ni, usahkan yang tua, yang muda pun tak hafal dialog. Saya pernah jayakan babak walau dapat skrip pada hari penggambaran tapi mereka (yang muda) dah dapat awal-awal pun benak,” katanya.

Menurut Norlia, ketika ini pelakon veteran juga berdepan cabaran apabila sesetengah penerbit lebih cenderung mengambil pelakon tambahan kerana bayaran yang dikenakan lebih rendah.

“Memang murah kalau panggil pelakon tambahan bukan tak ada bajet, tapi sebab bayaran murah,” katanya.

Bagi Khatijah Tan pula, dia tidak mempunyai masalah sekiranya pelakon muda dimekap menjadi tua, bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat tertentu.

Menurutnya, terlebih dahulu pelakon itu harus mempunyai jiwa dan penghayatan untuk melakonkan watak orang tua.

“Jika pelakon tu hebat dan boleh bawa watak tua, saya ucapkan tahniah. Saya sendiri misalnya, pernah tolak bawa watak orang kaya sebab sedar diri berasal dari kampung, watak tu tak kena dengan jiwa saya," katanya.

Tambah Khatijah, 58, dia sudah terbabit dalam dunia lakonan selama 40 tahun dan setakat ini, katanya, belum dilihat ada pelakon muda yang benar-benar boleh menjiwai watak orang tua.

"Fizikal pelakon boleh diubah tapi bahagian dalaman tak, kerana kena betul-betul berusia baru boleh bawa watak sebagai orang tua,” katanya.

Lihat Komen