malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hari pertama Ejen Ali The Movie kutip lebih RM1.8 juta
Diterbitkan:  Nov 29, 2019 10:46 PM
Dikemaskini: 2:46 PM
ADS

Filem animasi Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta untuk hari pertama tayangannya di 160 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mula menemui penonton, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, berkata pihaknya tidak menyangka filem berkenaan mampu meraih sambutan luar biasa.

“Inilah masanya untuk kita sama-sama bangga dengan produk filem Malaysia.

"Kami sangat terkejut dengan sambutan luar biasa ini dan menerima mesej daripada penonton di luar sana yang juga meluahkan rasa keterujaan dan bangga terhadap produk Malaysia yang mampu mengalahkan filem antarabangsa.

“Ini bukan sekadar kejayaan kami. Inilah kejayaan Malaysia! Terima kasih Malaysia!” katanya dalam satu kenyataan.

Ejen Ali melakar sejarah dalam industri animasi tempatan dengan mencipta sebuah filem bertaraf antarabangsa apabila Ejen Ali The Movie merupakan filem animasi pertama menjadi terlaris pada hari pertama tayangannya di Malaysia.

Tergugat kedudukan di Mata

Kata Ahmad Izham, amat membanggakan bagi rakyat Malaysia kerana tiga daripada lima filem terlaris dalam carta Malaysia semuanya dihasilkan oleh anak tempatan, iaitu Wira di tempat ketiga dan Pusaka di tempat kelima.

“Ini membuktikan produksi dan filem kita telah mencapai tahap bukan sahaja dapat bersaing tetapi melangkaui prestasi filem antarabangsa.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana andalah Ejen Ali The Movie nombor satu! Banyak filem hebat yang ditayangkan pada masa yang sama dengan filem kami, terutamanya filem dari luar.

Ejen Ali The Movie arahan Usamah Zaid Yassin berkisahkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (Mata) yang berperanan melindungi kota futuristik, Cyberaya, daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa Iris - atau Infinity Retinal Intelligence System.

Ia diubahsuai menjadi Iris Neo dan boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain.

Inovasi baharu itu dipersoalkan oleh Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa Mata tergugat.

Pada saat itu, dia didatangi individu misteri yang mendakwa mengetahui kisah silamnya. Ketika itu juga bermula pengembaraan baru Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap Mata bakal teruji.

Lihat Komen