malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jawatankuasa FDAM digulingkan? Bukan, kata Mat London
ADS

Krisis keyakinan yang dikatakan bermula sejak enam bulan lalu akhirnya membawa kepada perubahan kepemimpinan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) apabila semua ahli jawatankuasa (AJK) badan itu digantikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 yang berlangsung 17 Nov lalu.

Dr Ahmad Ibrahim - atau lebih dikenali sebagai Mat London - berkata, peralihan kuasa itu mendapat sokongan majoriti ahli yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Solidariti FDAM.

Katanya mereka menuntut agar badan yang memayungi pengarah filem Malaysia itu melakukan pembaharuan.

Beliau yang dilantik menjadi pengerusi FDAM sehingga pemilihan akan datang berkata, pencetus kepada ketegangan dalaman itu antaranya ialah ketiadaan aktiviti persatuan dan AJK gagal memberi penjelasan.

"Selepas keadaan itu berlanjutan, ahli mendesak agar mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan tapi tuntutan itu tetap tak dilayan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Ahmad tidak menyifatkan peralihan tampuk kepimpinan FDAM itu sebagai rampasan kuasa atau penggulingan kepemimpinan, sebaliknya menganggap ia sekadar proses biasa yang berlangsung secara tertib.

“Istilah menggulingkan sesiapa tak timbul kerana sebelum tu saya sudah nasihatkan mereka supaya letak jawatan dulu demi jaga tatasusila dan moral kerana kami masih menghormati khususnya mantan presiden, Othman Hafsham,” katanya.

Pakai baju hitam

Semasa proses peralihan itu diadakan di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hulu Kelang itu, mesyuarat dipengerusikan Abdul Rahim Awang.

Lebih 60 orang ahli FDAM menghadirinya.

Selain Ahmad, turut terpilih menjadi AJK badan berkenaan ialah Zaki Abdul Rahim sebagai timbalan presiden, Mohamad Zaini Hassan (Ketua Sekretariat), Logan (Bendahari), Zulkifli M Osman, Roslainur Roslan, Sofea J Rhyland dan Siti Fairuzah (AJK).

Abd Rahman Salehudin pula dipilih sebagai Ketua Majlis Penasihat FDAM, manakala Abdul Rahim sebagai pengerusi tatatertib.

Perjalanan mesyuarat itu juga berlangsung agak menarik apabila sebahagian besar anggota FDAM yang hadir memakai baju T hitam tertera tulisan Solidariti FDAM sebagai desakan agar konflik dalaman persatuan berkenaan diselesaikan segera.

Ahmad berkata, selepas dinasihatkan berundur, semua kepemimpinan FDAM bersetuju berbuat demikian kecuali timbalan presidennya, Mahadi J Murat.

Mahadi J Murat

Namun kata pensyarah sambilan di Universiti institut Teknologi Mara itu, isu kedudukan Mahadi akhirnya diselesaikan melalui undian.

Untuk rekod Ahmad pernah memegang jawatan presiden FDAM hampir 10 tahun sebelum ini.

Menurut bekas penasihat Finas berkenaan, dengan kepemimpinan baru FDAM mereka meletakkan matlamat membawa pembaharuan dalam hala tuju, selain memperkasakannya dan menjenamakan semua persatuan yang dianggotai lebih 1,000 ahli itu.

Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan, sebagai pengerusi mesyuarat pada 17 Nov lalu, dia berhak meminda agenda yang disusun selepas seorang demi seorang ahli FDAM bangun mengusulkan agar AJK badan itu digantikan.

Abdul Rahim Awang

“Sebelum ini ada sekumpulan besar ahli tak berpuas hati dengan AJK terdahulu tapi apabila suarakan hal itu, mereka dikenakan tindakan tatatertib iaitu digantung keahlian.

“Selain itu, saya membincangkan beberapa isu lain, antaranya mengapa tiada aktiviti dalam FDAM, wujudnya sistem kasta dalam WhatsApp, iaitu ada ahli yang tidak menyertai kumpulan sembang ditubuhkan, dan menerima semula beberapa ahli yang digantung keahlian,” katanya.

Ditanya mengenai status Ahmad, Abdul Rahim berkata, dia menjadi presiden yang sah sehingga pemilihan dibuat semasa AGM tahun depan.

“Asalnya tujuh orang dilantik sebagai AJK sementara - termasuk Mat London - bagi menggantikan barisan kepemimpinan terdahulu.

"Selepas melakukan semakan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), jawatan sementara didapati tak wujud. Justeru mereka dianggap AJK yang sah sehingga AGM selanjutnya diadakan," katanya.

Othman ketika dihubungi enggan mengulas isu berkenaan manakala usaha Malaysiakini untuk mendapatkan respons Mahadi setakat ini belum membuahkan hasil.

Lihat Komen