malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tajuk drama cintan-cintun buat Nasir nak muntah
Diterbitkan:  Nov 21, 2019 8:19 PM
Dikemaskini: 12:19 PM
ADS

Beranggapan penghasilan sesebuah karya harus mendidik masyarakat dan membentuk negara, pelakon Nasir Bilal Khan mengaku kecewa apabila melihat industri tempatan yang masih tiada hala tuju.

Kata Nasir, disebabkan hal itu, dia sudah menolak 20 tawaran lakonan kerana berasa kecewa dengan naskhah-naskhah yang disifatkannya tidak berkualiti.

“Secara jujur, apabila diberitahu tajuk drama saya rasa seperti nak muntah. Masakan tidak, drama sekarang hanya berkisar cinta cintun," katanya dipetik Harian Metro.

Nasir berkata, hasil seni perlu memandang 100 tahun ke depan, bukannya seperti sekarang.

“Tugas artis mengajar orang ramai dan menghasilkan moral yang baik. Artis ada tanggungjawab, anak seni sepatutnya memandang di sebalik sesuatu,” katanya.

Menurut pelakon Munafik itu, pernah suatu ketika, dia mahu bersara sebagai pelakon namun dipujuk untuk membintangi telefilem Tanah Kubur.

Nasir, 59, turut menyarankan, sekiranya stesen televisyen masih mahu menghasilkan drama mengarut, pihak produksi wajar bertindak sebagai 'tentera' dengan menentang ideologi terbabit.

Nasir berkata demikian semasa memenuhi undangan sebagai panel pada Kongres Sangga Artis Veteran di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, hari ini.

Ketika membincangkan diskusi Penghargaan dan Penghormatan Kian Pudar, dia mencadangkan agar diwujudkan banyak kategori bagi memberi peluang kepada artis senior untuk memenangi anugerah.

Nasir juga mencadangkan artis berpengalaman agar diberi ruang menjayakan program anjuran jabatan kerajaan, selain Kerajaan Persekutuan atau negeri memberikan darjah kebesaran berserta elaun khas untuk mereka.

“Dalam keadaan sekarang, ada dalam kalangan artis lama bergelar datuk masih meminta-minta di usia tua mereka,” katanya.

Lihat Komen