malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah tak goyang walau Charlie's Angels tak laku
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
ADS

Pengarah Charlie’s Angels, Elizabeth Banks, enggan membiarkan sambutan dingin yang diterima filem itu pada hari tayangan pembukaan melemahkan semangatnya.

Naskhah penuh aksi mempamerkan kelincahan tiga perisik wanita dijayakan pelakon Kristen Stewart, Naomi Scott dan Ella Balinska itu mencatatkan hasil kutipan jauh lebih rendah dari jangkaan.

Dengan kutipan sekadar AS$8.6 juta (RM35.8 juta), Charlie’s Angels terpaksa berpuas hati berada pada tempat ketiga di belakang filem Ford v Ferrari dan Midway.

Filem drama perang itu mendapat tambahan AS$8.8 juta (RM36.6 juta) untuk kutipan minggu keduanya walaupun laporan menyatakan ia menerima pelbagai kritikan.

Elizabeth - yang turut bertindak selaku penulis, penerbit dan pelakon Charlie's Angels sebaliknya mempertahankan projek berkenaan secara bergurau melalui ciapan di Twitter.

“Jika anda akan gagal, pastikan nama anda disebut sekurang-kurang empat kali. Saya bangga dengan #CharliesAngels dan gembira ia wujud di dunia ini,” ciapnya.

Mahu hebat dalam bidang diceburi

Unjuran filem terbitan semula Sony yang menelan belanja AS$50 juta (RM208 juta) itu hanya memperolehi antara AS$12 juta (RM50 juta) dan AS$13 juta (RM54 juta) di sebalik promosi besar-besaran untuknya.

Antara promosi yang dirancang membantu pemasaran Charlie's Angels ialah penerbitan video muzik mewak memaparkan bintang pop Ariana Grande, Miley Cyrus dan Lana Del Rey.

Bagaimanapun untuk berlaku adil, reaksi kepada filem itu juga ada pelbagai. Satu daripadanya, ulasan ditulis Kenneth Turan di Los Angeles Times menyifatkan naskhah berkenaan menunjukkan usaha yang patut dipuji tetapi pelaksanaannya kurang memuaskan.

Elizabeth Banks.

Sempena tayangan Charlie's Angels, Elizabeth amat bersikap terbuka mengenai filem berkenaan di samping mesejnya yang menuntut hak kesamarataan wanita.

Sebagai usahanya itu, pelakon filem Pitch Perfect berkenaan turut memainkan peranan penting dalam Charlie’s Angels sebagai Bosley, iaitu bekas Angel kepada Charlie di Agensi Townsend.

“Saya mahu wanita menjadi hebat dalam bidang mereka. Selain itu, saya juga mahu mengingatkan masyarakat bahawa wanita boleh cemerlang dalam bidang yang lazimnya dikuasai lelaki. Itu adalah DNA Charlie’s Angel secara umum,” katanya.

Charlie’s Angels merupakan naskhah terbaru berkisahkan trio ikonik yang ditugaskan untuk memerangi jenayah. Asalnya ia merupakan siri TV terbitan 1976 yang dibintangi Farrah Fawcett, Kate Jackson dan Jaclyn Smith.

Ia kemudian diterbitkan semula dalam bentuk filem pada 2000 dan dibintangi Lucy Liu, Cameron Diaz dan Drew Barrymore.

Lihat Komen