malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
JKKN Kedah perkasa teater seperti Jikey, Mek Mulung
ADS

Memperkasa seni teater, khususnya yang bersifat tradisional menjadi antara fokus utama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah bagi memastikan persembahan kebudayaan itu terus relevan dan tidak ditelan era globalisasi.

Teater tradisional yang popular di negeri ini pada suatu masa dahulu seperti ‘Jikey’ dan ‘Mek Mulung’ misalnya, perlu dijaga dan diwarisi demi kesinambungan pementasannya dalam masyarakat.

"JKKN Kedah sentiasa menyokong semua usaha untuk membangun dan menyemarakkan teater di negeri ini dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam melestarikan seni budaya itu," kata Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail kepada Bernama di sini.

Selain menganjurkan Festival Teater Negeri (FTN) pada setiap dua tahun, usaha badan bukan kerajaan (NGO) untuk mementaskan teater juga sentiasa disokong jabatannya dan inisiatif itu sangat dialu-alukan bagi memeriahkan pentas laman budaya JKKN.

"JKKN Kedah bersedia mempersiapkan platform, ruang dan peluang untuk mana-mana pihak berteater secara usaha sama dengan kapasiti auditorium yang boleh memuatkan hingga 250 penonton, berhawa dingin beserta kemudahan sistem P.A (unit sistem siar raya) yang terbaik," katanya.

Mohd Rizal berkata seni teater tradisional bukan sahaja unik malah menyajikan hiburan yang tidak keterlaluan atau merosakkan minda dan jati diri generasi muda.

Persembahan Mek Mulung misalnya, antara teater tradisional Melayu yang menggabungkan unsur lakonan, tarian serta muzik yang masih aktif dipentaskan oleh JKKN Kedah.

"Dahulu persembahan Mek Mulung biasanya dilakukan pada temasya perkahwinan atau keramaian yang mengetengahkan watak-watak seperti seorang raja, permaisuri, penari perempuan, ahli muzik dan peran (pelawak).

"Persembahannya juga menyelitkan unsur mitos, magis, sejarah dan sebagainya. Dalam Mek Mulung, watak peran agak penting kerana telatah dan jenaka merekalah yang menjadi daya penarik," katanya yang sangat menyokong sebarang inisiatif ke arah menyuburkan teater tempatan.

Bagi persembahan Jikey pula, beliau berkata ia biasanya dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal berkonsep 'usik-mengusik' (komedi) dengan dialog kelakar dan barisan pelakonnya akan memakai topeng atau kostum yang melucukan.

Mohd Rizal berkata Jikey bukan sahaja sangat popular di Kedah dan Perlis pada sekitar tahun 60-an, malah sering dipersembahkan di selatan Thailand yang dikenali sebagai 'Likey'.

Bagi memastikan seni teater itu terus malar, pihaknya kini bukan sahaja menumpukan kepada persembahan bercirikan tradisional, malah turut menggalakkan penglibatan generasi muda dalam pementasan berkonsep semasa.

"Sempena cuti sekolah ini, pada 13-14 Dis, satu pementasan teater yang hebat akan disajikan untuk tontonan umum iaitu teater semi muzikal kanak-kanak bertajuk Kota Kucing.

"Ia akan dipentaskan oleh pelakon cilik berusia enam hingga 12 tahun daripada Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) yang akan diarahkan oleh penggiat dan penulis skrip teater yang juga pemenang Pengarah Terbaik Festival Teater Kedah 2019, Mohd Zulkamal Ismail," katanya.

Tiket bagi persembahan teater itu serendah RM5 dan ia sangat sesuai ditonton seisi keluarga kerana berkaitan dengan dunia kanak-kanak serta mempunyai pelbagai mesej positif untuk diteladani bersama.

- Bernama

Lihat Komen