malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Unit drama RTM tonjol karya berat bermutu
ADS

Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan terus menonjolkan karya-karya ‘berat’ yang lebih bermutu bagi menyuntik elemen kelainan kepada penonton berbanding menghasilkan karya berdasarkan populariti seperti yang dilakukan kebanyakan produksi luar.

Pengurus Unit Drama TV RTM, Rahayu Wahid berkata mereka tidak gentar bersaing dengan karya sedemikian kerana yakin penonton kini lebih bijak dan terbuka dalam menerima karya-karya yang dihasilkan RTM kerana ia sarat dengan mesej-mesej tertentu.

"Umum tahu, produksi luar lebih banyak menghasilkan karya berdasarkan populariti seperti cerita daripada novel popular selain kebanyakannya melibatkan barisan pelakon popular.

"Kita pula lebih dikenali dengan karya berat sebab kita mahukan kelainan. Kita mahu mengajar masyarakat sekali gus menyampaikan mesej tertentu. Alhamdulillah, penonton juga sudah mula terbuka dengan genre yang kita bawakan," katanya kepada Bernama selepas majlis pratonton telefilem, Lafaz, di Kuala Lumpur hari ini.

Telefilem itu yang diterbitkan Unit Drama TV RTM berkisar tentang penyakit Alzheimer dan mengangkat genre cinta serta kekeluargaan.

Drama arahan Hisyamudin Ahmad itu yang dibintangi Qi Razali, Diana Aqila, Syazwan Zulkifly, Akmal Ahmad, Mardiana Alwi dan Wan Hanafi Su bakal ditayangkan pada 13 Dis ini di saluran TV2 pada 9 malam.

Rahayu dalam pada itu berkata karya yang dihasilkan RTM semakin diterima baik penonton dan baru-baru ini Unit Drama TV melalui karya arahan Wan Afzam Wan Daud, Di Sisi, dinobat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019).

Karya itu turut mengungguli empat kategori lain iaitu Pengarah Terbaik Drama, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Ruzaidi Rahman), Lakon TV Terbaik (Amin Masyur) dan Penyunting Drama Terbaik (Izar Masuri).

Selain itu, katanya RTM melalui Unit Drama TV merancang untuk membikin sebuah filem berkisar seni mempertahankan diri ‘Silat’ tahun depan dan kini dalam proses menguatkan skrip.

- Bernama

Lihat Komen