malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Butterfingers bertenaga, langkaui generasi
ADS

Ulasan | Biarpun konsert Butterfingers ditamatkan lebih awal daripada jadual, band itu tetap berjaya mengubati kerinduan kira-kira 8,500 peminat yang hadir menyaksikan persembahan mantap kumpulan rock itu di Stadium Melawati, Shah Alam, malam tadi

Konsert Transcendence 20 Tahun itu terpaksa dihentikan ekoran pemain bass band itu Kadak tiba-tiba mengalami sesak nafas hingga mengakibatkannya tidak boleh meneruskan persembahan.

Agak sayang apabila lagu-lagu daripada album pertama mereka 1.2 Miligrams yang ‘pekat’ dengan pengaruh grunge, seperti Chrome, Royal Jelly, Sober, Me dan Wet Blanket, terpaksa dihidangkan di pertengahan konsert dengan ketiadaan Kadak.

Persembahan lagu-lagu itu menjadi kekok dan kurang rencah tanpa bass sekaligus memadamkan momentum di pertengahan konsert. Ini jelas dilihat pada hadirin yang sebelum itu cukup bertenaga menari dan melakukan beberapa "moshpit" sepanjang persembahan.

Butterfingers, yang anggotanya juga terdiri daripada Emmett (vokalis), Loque (pemain gitar utama), dan Loco (dram), tidak menunggu lama apabila membuka persembahan bertenaga mereka dengan lagu Chemistry.

Kebetulan pemilihan lagu itu yang diletakkan awal sekali adalah tepat sebelum Kadak, atau nama sebenarnya Mohd Fakharudin Mohd Bahar yang diserang sesak nafas di belakang pentas semasa pertengahan konsert.

Chemistry sememangnya dinanti-nantikan para peminat yang datang termasuk penulis yang sebelum ini kecewa apabila lagu tersebut tidak dimainkan semasa persembahan kumpulan rock itu di konsert Rockaway di Bukit Jalil pada tahun 2016.

Butterfingers kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti Epitome, Faculties of the Mind, Moksha, Fire is a Curse, Girl Friday dan Vio Pipe.

Ketika lagu Vio Pipe didendangkan, para hadirin sudah mula menyedari sesuatu berlaku pada Kadak apabila dia tidak muncul di pentas.

Adakah konsert ini gagal? Penulis tidak berasakan sedemikian walaupun ketiadaan Kadak sedikit sebanyak memberi kesan pada perjalanan konsert keseluruhannya.

Butterfingers berjaya mengumpulkan beribu-ribu peminat setia mereka pada waktu sama perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung di antara skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah di stadium Bukit Jalil malam tadi.

Penulis berasa, ramai peminat mereka yang juga peminat bola tempatan memilih sebaliknya untuk berada di Stadium Shah Alam.

Jangkaan penulis bahawa hadirin yang membeli tiket untuk menonton terdiri daripada peminat dalam kategori bapak-bapak orang juga amat jauh meleset apabila sebenarnya ramai yang hadir itu merupakan peminat daripada generasi yang membesar dengan band seperti Hujan, Bunkface, Margasatwa dan sebagainya.

Dari segi persembahan pula, Butterfingers berjaya membawa peminat-peminat setia mereka kembali ke zaman 1990an. Mereka nampaknya tahu apa lagu-lagu yang dinanti-nantikan peminat.

Setlist yang terus bermula dengan Chemistry dan memuncak dengan lagu-lagu dari 1.2 Miligrams sebenarnya berjaya menghangatkan suasana dari awal persembahan tanpa perlu membuang masa memancing peminat supaya tunggu sampai ke hujung konsert seperti yang dibuat kebiasaan band-band lain di dalam dan juga luar negara.

Tentunya peminat-peminat mereka berasa puas dapat menyaksikan dan menyanyi setiap bait lagu bersama kumpulan kesayangan mereka itu.

Konsert malam tadi anjuran bersama Unifi sempena Festival Selangor Youth Republic 2019 diadakan sempena ulang tahun ke-20 album ketiga Butterfingers iaitu Transcendence.

Mereka memainkan 23 lagu dengan Wet Blanket sebagai lagu penutup.


FAISAL ASYRAF ialah wartawan Malaysiakini.

Lihat Komen