malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bot terbalik, anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 7:07 PM
Dikemaskini: Oct 27, 2019 10:06 AM
ADS

Seorang pengarah filem dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaiki bersama rakan untuk memancing terbalik di Sungai Jelai, Kuala Lipis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor, berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa, Firdaus Hanif, 43, masih diteruskan selepas polis menerima maklumat kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Katanya, operasi dijalankan dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang iaitu berhampiran Jambatan Gemunchur di Mela.

“Mangsa dikatakan menaiki bot fiber dengan seorang rakannya sebelum bot mereka terbalik menyebabkannya dibawa arus deras. Rakannya itu sudah ditemui dalam keadaan selamat.

"Operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan dan polis dengan kekuatan seorang pegawai bersama tujuh anggota serta dua bot terbabit dalam operasi ini," katanya kepada pemberita, di Kuantan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah menggerakan lima anggota dengan sebuah bot bagi operasi itu.

Difahamkan Firdaus, yang juga dikenali sebagai Pitt Hanif, adalah anak kepada pelakon Fauziah Nawi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen