malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dengan Pusaka Ogy rasa 'muda' bagai Lara Croft
ADS

Pertama kali diberi kepercayaan menjayakan kisah seram, Fauziah Ahmad Daud meluahkan perasaan bangga apabila dia dapat beraksi ala bintang Tomb Rider, iaitu Lara Croft, melalui filem terbarunya, Pusaka.

Berkongsi detik itu, kata pelakon berkenaan, pengalaman paling tidak boleh dilupakan ialah apabila dia diminta pengarah, Razaisyam Rashid, untuk beraksi menggunakan tali-temali (rigging).

Teruja dengan pengalaman itu, Fauziah, 57, turut mencabar mana-mana pelakon berusia lebih muda daripadanya untuk tampil berani menggalas watak yang memerlukan kekuatan stamina dan fizikal seperti dilakukannya.

"Waktu saya kena rigging tu usia mencecah 56 tahun, tiba-tiba rasa (muda) macam Lara Croft pula.

"Saya cabar aktres atau aktor lain buat rigging seperti saya, wanita sudah berusia," katanya.

Kata Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy itu, sebaik menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran berlakon dalam Pusaka, dia memahami perlu akur kepada kehendak pengarah, selain bersedia menjayakan beberapa cabaran bagi menjadikan karya itu lebih realistik.

Bukan hantu tepi pokok pisang

"Jangan takut... tu semua dalam minda. Bila tandatangani kontrak kita kena akur, tak boleh timbul perasaan bimbang kemudian, malah kita kena ada tahap keyakinan tinggi," katanya.

Fauziah ditemui pada majlis pratonton Pusaka di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Pusaka berkisahkan perjalanan seorang pegawai polis, Nuar - watak dijayakan Syafiq Kyle - yang cuba menyelesaikan misteri selepas menemui pasangan kembar Balqis dan Qistina terkurung dalam sebuah rumah kosong.

Nuar perlu segera mencari maklumat kerana seorang demi seorang berkait kes itu dibunuh secara misteri.

Pusaka turut dibarisi Mimi Lana, Sweet Qismina, Faizal Hussein dan Hafidz Roshdi. Ia dijadual menjengah seluruh pawagam tempatan pada 31 Okt ini.

Ditanya sama ada pengalaman dilalui dalam Pusaka menyebabkannya serik untuk berlakon dalam mana-mana filem yang memerlukannya beraksi lasak, Fauziah berkata, dia mengalu-lakukan tawaran sedemikian.

"Saya tak akan menolak kalau ada filem seram lagi tapi ia perlu memiliki anjakan paradigma dan tahap berbeza.

"Saya perlukan naskhah merangsang minda. Jangan bagi kisah hantu berlari pegang colok tepi pokok pisang pula," kata yang pernah memenangi anugerah pelakon wanita terbaik Malaysia sebanyak dua kali.

Lihat Komen