Pengiklanan

    Balu Yazit terima tajaan umrah

    (Dikemaskini )

    Balu pemain dram kumpulan Search Allahyarham Yazit Ahmad, Ramlah Ahmad, bersyukur ada pihak sudi menaja dia mengerjakan umrah tahun depan.

    Ramlah berkata, pakej tajaan itu diterima daripada In Saff Travel & Tour Sdn Bhd.

    “Sepatutnya arwah yang mengerjakan umrah tapi impiannya tak menjadi kenyataan. Apabila tiba di sana (Makkah), saya akan mengirimkan doa buatnya,” katanya dipetik Harian Metro.

    Yazit meninggal dunia 26 September lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

    Arwah juga mengidap penyakit buah pinggang sejak lebih 10 tahun lalu yang membuatkannya perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

    Selain itu, Yazit juga diserang beberapa masalah lain hingga kerap keluar masuk hospital.

    Tambah Ramlah, arwah pernah menyuarakan keinginannya untuk mengerjakan ibadah itu awal tahun ini.

    Namun disebabkan masalah kesihatan, hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan.

    “Saya menasihati arwah jaga kesihatan supaya kami dapat bersama-sama ke sana. Tetapi apakan daya, ia tidak kesampaian,” katanya.

    Kata Ramlah, dia akan berbincang dengan tiga anaknya iaitu Razilah, 38, serta Shamirnuri, 34, dan Syafiqa Nurlis, 29.

    Sementara itu pengurus majlis, Rosli Buang berkata, Show Kenang Jasa Insan Seni Allahyarham Yazit Ahmad dijadual berlangsung 25 Oktober ini.

    Katanya, persembahan bertempat di i-Cafe Bikerstation, Sungai Buloh itu bertujuan mengenang jasa arwah selama 40 tahun dalam industri seni tanah air.

    Rosli berkata, pihaknya bercadang mengorbankan seekor lembu untuk kenduri dan majlis tahlil bersempena penganjuran acara.

    “Kami amat mengharapkan sokongan melalui jualan 100 meja (tetamu) berharga RM350 setiap satu. Bagi setiap meja ia boleh diduduki 10 individu,” katanya.

    Menurutnya, program bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu bakal menyaksikan artis legenda mengadakan persembahan seperti Man Kidal, Oma Akira, Burnmark, Zul Handyblack, Assalam Band dan Rampage.

    Mereka juga menjemput Amy Search dan Awie.

    Rosli yang juga bekas pengurus persembahan arwah memberitahu, jumlah sumbangan berkenaan akan digunakan bagi membiayai kos penganjuran selain disalurkan kepada keluarga arwah.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih