malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Caprice selar pensyarah gelar pekerja penghantaran 'tak bermaruah'
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 8:27 PM
Dikemaskini: Oct 15, 2019 1:41 AM
ADS

Tindakan seorang pensyarah universiti menganggap seseorang yang mencari nafkah sebagai pemandu perkhidmatan penghantaran makanan atau pengangkutan sebagai "tidak bermaruah" mengundang kemarahan ramai termasuk kalangan selebriti.

Antaranya, penyanyi rap yang begitu lantang menyuarakan pendapat di media sosial, Caprice. Dia dilihat gigih membela nasib pekerja golongan berkenaan.

“Berani kamu bercakap mengenai maruah untuk mereka yang mencari pendapatan begini,” katanya di media sosial.

Caprice juga secara sinis menyelar penyarah terbabit dengan berkata, sebelum membahaskan Belanjawan 2020, seseorang itu perlu memiliki tahap pemikiran seiring dengan apa dibincangkan.

“Mereka terpaksa buat kerja tambahan sebab nak tampung beban kos hidup yang semakin meningkat.

Bro, kita boleh cakap pasal bajet 2020, tapi otak kita kena (tahap) 2020 juga,” katanya.

Terdahulu, penyarah Universiti Putra Malaysia itu diminta seorang pengacara TV untuk mengulas pendapatnya mengenai rakyat negara ini yang bekerja sebagai pemandu perkhidmatan penghantaran makanan atau pengangkutan.

Ada garis panduan

Kejadian itu berlaku pada hari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Okt lalu.

“Mungkin ramai golongan muda terutamanya yang memilih untuk menjadi pekerja khidmat penghantaran untuk pemandu Grab ataupun penghantaran makanan termasuk FoodPanda, Grab, adakah ia dilihat sebagai kemakmuran bersama?” katanya.

Penyarah itu pula memberi respons dengan menyifatkan kerja-kerja tersebut sebagai "tak bermaruah".

Bagaimanapun pensyarah terbabit menjelaskan, kenyataan itu bermaksud ia tidak wajar dilakukan ketika orang Melayu mahu meningkatkan maruah masing-masing.

"Kalau orang yang delivery itu ada degree, kenapa kita nak galakkan supaya dia buat (kerja) macam tu?" katanya.

Sementara itu, pegawai Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof Dr Azmawani Abd Rahman, berkata kenyataan dikeluarkan penyarah terbabit adalah bersifat peribadinya dan bukan pendirian rasmi universiti berkenaan.

“Untuk makluman, perkara ini sedang disiasat dan UPM masih menunggu penjelasan lanjut daripada pensyarah berkaitan yang dilihat berkemungkinan besar tersalah menggunakan perkataan yang bersesuaian untuk menggambarkan pendapat dan pandangan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Baca Belanjawan 2018: Artis mahu suara mereka didengari


Bagi menjernihkan keadaan, UPM akan meminta pensyarah berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran kenyataan dibuatnya itu.

“Bagi memurnikan situasi yang sedang berlaku, UPM akan meminta pensyarah terbabit mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka khususnya kepada pihak yang terkesan dengan kenyataan tersebut dan umumnya kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Ingin dimaklumkan, UPM mempunyai garis panduan kepada semua pekerja dan pelajar dalam memberi kenyataan kepada media.

“UPM juga sering memberi peringatan dan memantau warganya supaya mematuhi perkara-perkara yang telah ditetapkan dan tidak memberi sebarang kenyataan yang berbentuk provokatif, menyinggung, dan memberi persepsi negatif,” katanya lagi.

Tiada niat persenda mana-mana pihak

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Yusof Saari memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan kenyataan dikeluarkannya ketika sesi temu bual diskusi Belanjawan 2020 yang disiarkan secara langsung di sebuah stesen televisyen baru-baru ini.

Mohd Yusof berkata, dia tiada niat untuk memperkecil atau mempersenda mana-mana pihak sebaliknya kenyataan dilontarkan sekadar pandangan supaya kerajaan mengangkat martabat dan maruah pekerja di negara ini dengan menyediakan peluang pekerjaan bersesuaian mengikut kelulusan graduan.

“Saya memohon maaf sekiranya percakapan saya semasa sesi temu bual itu mengundang persepsi negatif dan menggambarkan seolah-olah saya menghina maruah pemandu e-hailing dan penghantar makanan (rider).

“Saya juga ingin menegaskan bahawa segala pandangan yang saya utarakan adalah pendapat peribadi saya dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan atau organisasi.

“Saya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku dan akan lebih berhati-hati di masa akan datang dan berharap agar kenyataan ini dapat menghentikan tohmahan dan buli siber yang sedang dilakukan kepada saya,” katanya menerusi satu kenyataan, lapor Harian Metro.

Mohd Yusof juga berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu serta pihak tidak bertanggungjawab yang menjadi pencetus kekeliruan, salah faham dan fitnah terhadapnya.

Lihat Komen