malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Wann jangan terlalu ahak, ahak, kata Hetty Koes Endang
ADS

Meskipun mendapat pujian juri profesional dari Indonesia, Hetty Koes Endang - peserta Gegar Vaganza 6, Wann dinasihatkan untuk tidak terlalu ‘meneran’ dalam nyanyiannya.

Hetty, ketika memberi komen persembahan Wann mengatakan, teknik itu menyebabkan penyampaian ketika Wann menyanyikan lagu ‘cari makannya’ tidak jelas.

“Jangan terlalu banyak ‘ahak- ahak’.

“Wann mesti hati-hati, artikulasi Wann kurang jelas,” kata penyanyi popular Indonesia pada sekitar 80an itu.

Artikulasi – merujuk kepada proses menyebut bunyi atau kata dengan jelas.

Saat mempersembahkan lagu tersebut, Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid kedengaran seakan sukar menyebut rangkap lagu, justeru membuatkan Hetty melontarkan kritikan sedemikian.

Bagaimanapun, Hetty berkata, penyanyi lagu Terlerai Kasih itu memiliki karakter suara yang unik yang membuatkan dia berbeza dengan penyanyi lain.

“Memang itu adalah ciri khas Wann, unik. Tetapi terlaku (banyak) ahak-ahak.

“Untuk persembahan seterusnya, artikulasi mesti jelas kerana dari tadi saya tidak tahu apa yang kamu ngomong (nyanyi),” katanya sambil memuji persembahan Wann.

Tapi bonda Ella suka

Sementara itu, Ella, yang menjadi juri jemputan pada konsert minggu pertama GV6 mempertahankan rakan sezamannya itu sambil memuji teknik yang dimiliki  penyanyi Lamunan Hati itu.

“Tapi bonda … (merujuk kepada nama panggilan Hetty) Ella love (suka) …,” kata Ella saat mencelah ketika Hetty memberikan komen.

Mengulas lanjut, Wann dia cuba untuk mengurangkannya pada persembahan minggu akan datang, namun, dia tidak menafikan suara ‘itu’ tetap akan berlaku

“Itu Wann cubalah. Kalau dah memang macam itu, Wann tak boleh buat macam manalah. Itulah saya.

“Kalau pada orang yang rasa dia tak pernah dengar suara Wann, jadi, dia (pendengar) terus ambil di situlah (merujuk kepada teknik nyanyiannya).

“Pada peminat yang lama, mereka tahu Wann memang macam itu,” katanya.

Semalam, seramai 13 peserta berentap di konsert minggu pertama Gegar Vaganza 6.

Pada persembahan semalam, Jatt Ali, penyanyi utama kumpulan Black Dog Bone yang popular lewat tahun 70-an muncul sebagai juara mingguan.

Jatt membawakan lagu yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dulu iaitu Cahaya Aidilfitri dan Khayalan.

Manakala Hady Mirza penyanyi dari Singapura mendapat tempat kedua dengan lagu hitnya berjudul Angkasa dan tempat ketiga Wann dengan lagu malar segarnya – Bossanova.

Lihat Komen