malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Liza Hanim tak paksa anak-anak tapi wajib selesaikan SPM
ADS

Enggan memaksa mana-mana anak untuk mengikut laluan masa depan yang ditentukannya, Liza Hanim bersikap terbuka sekiranya salah seorang daripada mereka itu mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi suatu hari nanti.

Kata penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu, sebagai ibu dia akan memberi peluang kepada anak sulungnya, Marsya Qistina - yang dilihat memiliki bakat menyanyi - untuk membina masa depan mengikut minat sendiri.

Marsya baru berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, kata Liza, 39, dia meletakkan syarat tertentu buat kelima-lima orang anaknya.

“Syaratnya ialah, mesti menghabiskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu dan masuk institusi pengajian tinggi (IPT).

"Masuk IPT mana, saya tak kisah,” katanya.

Liza ditemui pada majlis pengumuman National Symphony Orchestra (NSO) Plays Epic Screen Themes in Concert di Istana Budaya, baru-baru ini.

Selain Liza, konsert yang dijadual berlangsung selama dua hari mulai 1 Nov ini di Panggung Sari, Istana Budaya turut dijayakan penyanyi Black Hanafiah dan Sean Ghazi.

Hadapi cabaran paling besar

Persembahan NSO atau Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) itu akan diketuai Mustafa Fuzer Nawi sebagai konduktor.

Untuk rekod, Liza berkahwin dengan salah seorang anggota Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin, pada 2003.

Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat lagi anak iaitu Marissa Qaireen, 9; Mohamed Salahuddin, 7; Mohamed Ibrahim, 3; dan Mohamed Al Fateh, 10 bulan.

Kata pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, dia tidak mahu anak-anaknya nanti mempelajari atau melakukan bukan atas kerelaan sendiri sebaliknya kerana paksaan.

“Budak-budak sekarang misalnya belajar bidang kejuruteraan tapi kerja lain. Mereka belajar bidang tu bukan sebab minat tapi atas paksaan ibu bapa.

“Justeru, saya tak nak memaksa, apa saja anak-anak nak buat saya akan sokong penuh, tapi pada masa sama akan memantau masa depan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai minat Marsya, Liza yang turut pernah berlakon dalam filem KL Menjerit menambah, setiap tahun dia melihat minat anaknya itu dalam bidang nyanyian semakin meningkat.

“Setiap tahun minatnya bertambah, dah ada pihak maklumkan ingin menjadi pengurusnya,” katanya berseloroh.

Sementara itu, mengulas konsert orkestra itu, Liza, berkata, cabaran paling besar buatnya ialah apabila diminta menyanyikan lagu Asmaradana, runut bunyi filem Puteri Gunung Ledang dan nyanyian asal Tiara Jacquelina.

Menurutnya, dia berasakan perlu 'meminta izin' kepada Tiara sendiri sebelum mempersembahkan lagu berkenaan depan khalayak.

“Saya tak pernah nyanyikan Asmaradana, secara vokal ia amat ringkas. Bila nyanyi lagu ringkas tu yang jadi masalah buat saya.

“Cabarannya ialah untuk sampaikan lagu mengikut versi sendiri. Kena minta kebenaran awal-awal pada Tiara dan mohon maaf kalau tak dapat bawa lagu tu dengan baik,” katanya.

Lihat Komen