malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Margasatwa pertaruhkan elemen muzik Melayu
ADS

Enggan melihat kesenian berasaskan muzik Melayu pudar, band Margasatwa - yang mengetengahkan sentuhan muzik rock era 1970-an hingga 1990-an - menganggap menjadi keperluan buat mereka terus menyuntik identiti bangsa dalam setiap karya dicipta.

Vokalis Margasatwa, Kimal, berkata mereka sengaja menyulam elemen budaya Melayu pada susunan muzik, nyanyian dan runut bunyi agar identiti kemelayuan tidak dilupakan pendengar.

“Itu saja yang kita ada (identiti). Tidak perlu taasub dengan muzik dibawa dari Barat sedangkan kita pun sudah ada apa yang mereka ada,” katanya.

Kimal - atau Mohd Akmal Hakim Mokhtar - ditemui pada majlis pelancaran album Margasatwa dan sesi memperkenalkan kumpulan itu di Ampang, Selangor semalam.

Album itu memuatkan 11 lagu termasuk single pengenalan mereka yang diterbitkan pada 2017, Ego.

Turut diberi ruang pada album berkenaan ialah single kedua, Asmara Botol Kaca, dan sekali gus melengkapkan cakera padat (CD) album penuh mereka untuk peminat.

Selain Kimal, kumpulan ditubuhkan pada 2016 - dan kini bernaung bawah Luncai Emas Sdn Bhd - itu turut dibarisi empat lagi anggota iaitu Syahir sebagai pemain dram, Fadhil dan Sammy (gitar) serta Shadiq (bass).

Hadapi masa sukar

Kata Kimal, menariknya Margasatwa ialah apabila ia dicorakkan melalui elemen dan rentak irama Melayu asli, selain menggunakan beberapa alat muzik tradisional.

“Ada muzik keroncong dan zapin, manakala untuk alat muzik, kami selitkan seperti rebana dan gamelan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Margasatwa tampil menggayakan imej berambut panjang selari dengan pengaruh dibawakan idola mereka, seperti Carrefree dan Alleycats.

Mengulas imej berkenaan, Kimal berkata, gaya ditampilkan kumpulan itu biasanya mengikut pada kesesuaian dan tema majlis.

“Kami juga pernah berbusana dan bertanjak ketika muncul di khalayak sebelum ni,” katanya.

Ditanya cabaran menyiapkan album berkenaan, Kimal berkata, ia mengambil masa setahun untuk disiapkan.

Katanya, ia juga dirakam sewaktu dia berada pada saat-saat sukar kerana puteri sulungnya, Puspa - berusia setahun 10 bulan - berdepan masalah jantung berlubang.

Menurut Kimal, pada ketika itu dia perlu berusaha untuk mencari sumber kewangan bagi membolehkan anaknya itu dibedah dengan kadar segera.

“Masa tu saya tengah rakam vokal untuk album dan dapat tahu mengenai masalah anak saya.

“Tapi sekarang alhamdulillah Puspa semakin sihat, setahun sekali kami kena hantar dia untuk pemeriksaan.

“Saya amat berterima kasih kepada rakyat negara ini dan rakan-rakan artis yang membantu menyumbang wang,” katanya.

Lihat Komen