malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Dalam konteks sejarah, golongan seniman memainkan peranan besar untuk mengepalai aktiviti pembinaan infrastruktur bangunan di Malaya/Malaysian Art Scene - begitu lebih kurang kata-kata Nur Hanim Khairuddin mengenai dunia seni di negara ini.

Tanpa kehadiran institusi formal, sekumpulan artis menyumbang kepada kewujudan tempat yang menjadi pusat sinergi dan penjalin silaturahmi dalam komuniti artis.

Ia juga menjadi satu platform untuk proses pembelajaran.

Maka terbetuklah Rajawali Art Groupe Internationale di Kuantan pada 2007 oleh Abdullahjones.

Ia kemudian disusuli oleh Ajis, Abu Yusof, Radzuan Mat Diah, Ali Shamsul Bahar, Abdullah Hamdan, Najihah Lee, Nazri Chot dan Ruslan Khalid.

Mungkin ada benarnya kata-kata bahawa Rajawali itu sudah gugur ke tanah dengan begitu ketara.

Namun di sebalik apa yang terjadi itu, ruh dalam pengkaryaan artis Rajawali masih berdenyut.

Justeru pameran Rajawali-X: Episode Dua di Kuantan sekarang disambut oleh nama-nama seperti Syed Azimal, Johana Baidura Putri, Nur Khairi Hamidi dan Uyu.

Pensyarah di Kolej Universiti Yayasan Pahang, Mohd Kairul Abas, pula bertindak sebagai kurator.

Bertempat di 90 Degrees Cafe & Art, Jalan Air Putih, Kuantan, berlangsunglah Rajawali-X : Episode Dua sebagai pameran indie yang terhasil melalui kerjasama di antara Rajawali Outerspace, Kolej Yayasan Pahang, 90 Degrees Cafe & Art, dan Balai Seni Negara.

Pelbagai temat dan konteks ditonjolkan dalam pameran itu.

Namun antara yang paling menarik ialah, artis terbabit datang dari latar yang rencam. Daripada gen-x sehinggalah ke gen-z.

Sinergi antara generasi yang berbeza itu memang perlu disemai kerana perbezaan itulah yang akan membentuk counterpoint yang harmoni sebelum membentuk ‘melodi’ tersendiri.

Sebagai intiha, scene seni di Kuantan sewajibnya dipandu terus ke hadapan kerana yang menjadi maestro untuk seni di Malaysia juga asalnya kelahiran Kuantan.

Misalnya Redza Piyadasa, Joseph Tan, dan Loo Foh Sang.

Semoga Rajawali-X: Episode Dua itu menjadi titik tolak buat artis - khususnya dari cabang seni visual - untuk terus berkarya.

Juga diharap budaya berpameran terus rancak dipersembahkan kepada masyarakat yang mahukan seni.


NORKHAIRI HAMIDI ialah penolong kurator pameran Rajawali-X: Episode Dua.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen