malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nad Zainal ingin kenali Dr Siti Hasmah lebih dekat
ADS

Aktres Nad Zainal berazam untuk menjiwai wataknya sebagai Dr Siti Hasmah Mohamad Ali - wanita yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad - dalam filem berjudul Hasmah dengan baik.

Tidak mensia-siakan peluang diberi, Nad berkata, dia sedang giat mempelajari karakteristik, gaya dan lenggok percakapan isteri Mahathir itu melalui pemerhatiannya berasaskan sumber bahan bacaan serta klip video.

“Dah lama saya mengimpikan untuk menjayakan watak sebuah naskhah biografi seperti Hasmah.

"Justeru, saya banyak mengkaji mengenai ciri-ciri seorang Hasmah melalui buku dan menonton video yang memaparkan bagaimana beliau bercakap dengan orang di sekelilingnya,” katanya.

Nad ditemui pada majlis prapelancaran filem terbarunya, Hasmah di the Love @ Matic (Pusat Pelancongan Malaysia) di Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut perkara itu, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin juga memaklumkan bahawa pertemuannya dengan Hasmah sudah diatur minggu ini.

Kata Nad, dia merancang untuk bertanyakan pelbagai persoalan kepada wanita berusia 93 tahun itu bagi memudahkannya menghidupkan watak Hasmah.

“Saya nak ambil kesempatan itu untuk lebih mengenali beliau sebelum membawa wataknya.

“Cara itu juga memudahkan saya untuk menampilkan seorang Hasmah mengikut versi sendiri,” katanya.

Filem dijangka membuat penggambaran Mac tahun depan itu berkisarkan percintaan romantik antara Hasmah dengan Mahathir yang tidak pernah divisualkan sebelum ini.

Selain Nad, Hasmah akan turut dijayakan antaranya pelakon Hasnul Rahmat yang menggalas watak sebagai Mahathir manakala Zamarul Hisham menjadi Mohamad Ali.

Naskhah dijangka menelan kos hingga RM7 juta itu bakal melalui penggambaran di tempat-tempat yang mempunyai kaitan dengan kisah romantik Hasmah dan Mahathir seperti Kuala Lumpur, New York, London dan Kobe.

Tambah Nad, 29, untuk menjadikan watak Hasmah yang terkenal kerana gesekan biolanya menjadi lebih realistik, dia juga giat mengikuti kelas bermain alat muzik itu walaupun tanpa menerima arahan produksi.

“Sekarang dah nak masuk dua bulan saya belajar. Saya harap dapat belajar satu dua lagu kegemaran Hasmah dan Mahathir serta bermain biola dengan baik.

“Dulu memang pernah belajar bermain bes tapi dah lama tak main, kemahiran pun berkarat,” katanya.

Lihat Komen