malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bukan saja-saja Amir Andhar 'cacatkan' wajah Hassan Sani
ADS

Apabila Amir Andhar Abu Samah menyiapkan lukisan mural memaparkan potret pemain bola sepak legenda negara, Hassan Sani, di Labuan baru-baru ini, karya itu tetap kelihatan seperti tidak sempurna.

Puncanya, gambar memaparkan wajah pemain digelar lipas kudung itu digambarkan dengan mata dan rambut yang tidak cukup sifat.

Namun, Amir - atau lebih dikenali dalam kalangan rakan-rakan dan peminatnya sebagai Andharas - tidak melatah apabila ditanya hal itu.

Baginya, ada sebab khusus mengapa dia memilih untuk menyiapkan karya berkenaan sedemikian rupa.

“Saya belajar ilmu kesenian dalam Islam. Memang sengaja saya lukis tak sempurna pada bahagian tertentu terutama pada bahagian mata.

"Tu sebab saya pecah-pecahkan gambar (semi realisme),” katanya ketika ditemui pada Program Seni Jalanan dan Kitar Semula di Labuan baru-baru ini.

Menurut graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara itu, sesebuah potret akan kelihatan seolah-olah bernyawa apabila bahagian matanya dilukis dengan sempurna.

“Mata akan hidupkan potret,” katanya.

Hati rasa berdebar-debar

Nama Amir, 26, bukan asing lagi bagi penggemar seni lukisan jalanan mahupun watak-watak animasi seperti Marvel atau aktor dari Hollywood.

Karya pemuda itu sebelum ini berjaya menyentuh hati masyarakat apabila dia mengangkat Uncle Roti sebagai subjek mural sempena Festival Balik Pulau di Pekan Kongsi Julai lalu.

Kisah Uncle Roti atau L Munyadi terpilih sebagai ikon mural gergasi - oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Balai Seni Negara (BSN) - menjadi inspirasi buat warga maya kerana dia mampu memberikan pendidikan terbaik buat ketiga-tiga anak penjual roti berkenaan.

Walaupun hanya menampung keluarga dengan jualan roti, anak-anak Munyadi berjaya bergelar doktor dan peguam manakala seorang lagi sedang menuntut di Universiti Teknologi Petronas.

Kisah di sebalik mural yang berjaya mendapat tempat di hati penduduk setempat itulah yang membuatkan khidmat Amir sekali lagi digunakan BSN untuk mempotret gambar Hassan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Berkongsi perasaannya, kata Amir, hatinya berdebar-debar sewaktu diberitahu perlu menyiapkan gambar bekas penyerang kebangsaan Malaysia itu.

"Berdebar-debar sebab angkat tokoh tempatan yang dekat dengan kita macam Hassan Sani," katanya.

Bukan kejar duit

Bermula daripada mural-mural gergasi itu juga Amir menyatakan harapannya mahu melihat lebih banyak lukisan jalanan atau idea dekorasi pada dinding dihargai masyarakat.

“Apabila mural di Balik Pulau dapat sambutan, saya lihat hasil karya lukisan jalanan semakin dapat difahami orang ramai.

“Karya pelukis tempatan sebenarnya juga boleh menyaingi seni mural gergasi yang sebelum ni banyak dipelopori pelukis dari luar negara,” katanya.

Hassan Sani

Sementara itu, Hassan ketika ditemui berkongsi perasaan bangga dan terharu apabila wajahnya dilukis bertujuan menyuntik nafas baru pada bangunan yang menjadi tumpuan untuk perkhidmatan pengangkutan laut itu.

"Terharu sebab ni pertama kali diabadikan sebagai mural. Pelancong dari luar atau generasi muda mungkin akan tertanya-tanya siapa Hassan Sani,” katanya.

Bercerita mengenai gambar yang dipilih Amir, kata Hassan imej itu dirakam sewaktu dia berusia 18 tahun dan baru menyertai pasukan belia bola sepak sekitar 1970-an.

Mengimbau kenangan pada ketika itu, menurutnya, dia sanggup bermain bola sepak untuk negara walaupun pendapatan diraih tidak seberapa.

“Masa tu duit elaun kami kira-kira RM5 hingga ke RM10. Saya juga buat dua kerja pada waktu sama, memang meletihkan.

“Tapi tak apa, saya bermain bukan untuk duit tapi untuk negara,” katanya.

Lihat Komen