malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN FILEM | Filem sering dipandang rendah serta tidak memberi apa-apa makna yang signifikan kepada negara dan masyarakatnya.

Ini hakikat yang pahit. Sepahit Arthur Fleck dan Theodore Twombly menerima hakikat takdir hidup mereka.

Masyarakat moden yang mengelilingi Twombly dan setiap susuk manusia yang melayan Fleck di bandar Gotham hakikatnya adalah kita, iaitu manusia yang hidup tanpa mengetahui bahawasanya filem merupakan suatu organisme unik serta berkuasa.

Siapakah sebenarnya si Arthur Fleck, seorang gila yang pada awalnya adalah pencinta yang gemar membuat orang ketawa?

Adakah dia si Theodore Twombly yang pernah hancur hati dan luluh jiwanya akibat putus cinta dengan Samantha, iaitu suara seorang wanita yang dia sendiri programkan pada sistem operasi ala artificial intillegence ke telefon pintarnya?

Adakah Fleck yang selamba - tetapi penuh gaya - menabalkan diri sebagai Joker dalam satu rancangan bual bicara kendalian Murray Franklin (dan kemudian ditembak tepat di kepalanya itu) ada kaitan dengan Twombly dalam Her?

Siapakah sebenarnya si dia di sebalik Joker yang sukar untuk berhenti ketawa itu?

Adalah satu dosa buat barang siapa yang beranggapan bahawa filem hanyalah sebuah omongan kosong tentang fantasi tanpa pasakan nilai apa-apa.

Manusia berjaya atau tidak

Jika itu halnya, ternyata kalian adalah mangsa doktrin politik pembodohan yang bakal ditembak joker sebelum dicampak ke neraka.

Artikel ini mengambil semangat Francois Truffaut yang pernah berkata, seorang pengarah filem bukanlah auteur yang sebenarnya.

Hal itu kerana idea untuk menghasilkan sesebuah filem adalah hasil kerja yang dibuat secara bersama oleh sekumpulan kru, penerbit, jurukamera, penyunting, pereka produksi, penulis lakon layar - dan tentunya - para pelakon yang menghidupkan setiap babak visual sebelum ia menjadi naratif penuh makna.

Kenyataan Truffaut itu malah disokong oleh William Goldman dalam artikelnya yang berjudul Adventures In The Screentrade.

Filem boleh jadi suatu intuisi yang begitu dekat dengan diri sendiri. Ia adalah tentang bagaimana seorang manusia berjaya - atau tidak - mengongsikan pengalaman transendental peribadi dalam satu transisi pengembaraan yang begitu asyik bersama spiritual falsafah.

Ia hanya dapat benar-benar difahami oleh sesiapa yang sentiasa mencuba untuk merasakan sendiri perjalanan itu dengan penuh rasa empati.

Tulisan ini hanya mahu berdiri pada garis kelabu interpretasinya sendiri. Ia tidak berhajat untuk masuk ke zon literary mahupun theatre studies.

Ia hanya mahu jujur meneroka elemen auteurisme Joaquin Phoenix dalam acuan sendiri yang dikutip daripada perjalanan karektor Theodore Twombly ke daerah penuh keanehan menjadi Arthur Fleck dalam Joker.

Andrew Sarris dalam bukunya Notes On The Auteur Theory in 1962 pernah menjelaskan bahawa teori itu dapat dinilai melalui tiga aspek utama iaitu teknikal, gaya peribadi pengarah dan juga maksud dalaman pada sesebuah filem.

Tekanan yang mendera

Pada 2013, Spike Jonze menulis dan mengarahkan sebuah filem hebat berjudul Her.

Her ialah cerita tentang kekosongan diri dan kegersangan jiwa si Twombly, seorang penulis surat yang selalu menciptakan kata-kata yang indah pada setiap helaian karangannya.

Walaupun ayat-ayat pada suratnya itu sangat digemari - malah Twombly dianggap berbakat luar biasa - dia selalu mengungkapkan yang ianya hanyalah surat yang bukan surat buat kekasih atau keluarga yang dia cinta.

Ayat-ayat itu dikarangnya untuk menggembira dan menenangkan hati orang lain sebagai kerja.

Itu jugalah latar rupa kurus cengkung Fleck di tangan Todd Phillips yang dia tulis bersama Scott Silver. Kehausannya pada sesuatu yang bernama pencapaian dan kejayaan dalam kariernya sebagai komedian, menjadi satu tekanan yang cukup mendera.

Filem Joker dan Her diletakkan Phoenix dalam satu premis persoalan psikologi yang cukup kompleks. Ia disepah dan dilambakkan pada setiap babak serta inci naratif cerita sehingga menjadi konflik yang sangat menyentuh jiwa dan raga.

Andai dalam Her, Catherine isterinya Twombly tergamak merendah-rendahkan cinta dia pada Samantha sehingga sanggup menganggapnya gila.

Thomas Wayne seorang hartawan yang mahu merebut jawatan datuk bandar Gotham pula adalah punca mengapa Fleck memilih untuk menjadi Joker.

Kenyataan Wayne dalam satu siaran berita yang mengaitkan badut dengan orang yang gagal dalam hidup, cita-cita dan kerja telah secara total membunuh jiwa Fleck.

Karektor Twombly dan Fleck diketengahkan Phoenix melalui dua filem berbeza namun tetap dalam satu roh dan semangat yang sama. Realiti kegagalan bakat dan kecundangan cita-cita dalam kerjaya menjadi suatu sebab dan akibat pada lontaran naratif yang amat kuat.

Sehingga pada hujungnya kita juga akan terheret “gila” bersama mereka.

Gila akibat manusia lain

Fleck adalah umbu sumber karektor Twombly yang Phoenix guna tanpa kesedarannya bagi memaknakan erti sunyi, dan membesarkan maksud kekosongan jiwa.

Bakat, pengetahuan, pengalaman dan semangat Phoenix memahamkan kita bahawa Twombly dan Fleck adalah Phoenix yang penuh misteri kesan keberhasilan watak lakonannya pada hujung kedua-dua cerita.

Twombly berhasil mendapat cinta dan hidup baru yang lebih sempurna bersama Amy, rakan karibnya, sementara Fleck berjaya mendapat perhatian masyarakat Gotham yang lebih menghargai bakat semula jadinya sebagai susuk baru bernama Joker.

Her bukan tentang seorang penulis surat yang akhirnya berhasil diterbitkan jadi buku, tapi tentang Twombly yang gila kerana jatuh cinta dan melakukan seks dengan suara.

Begitu juga Joker yang bukannya tentang Joker, sebaliknya mengenai Fleck yang gila akibat manusia-manusia di sekelilingnya.

Itulah kekuatan karektor Twombly dan Fleck. Kerana adalah sangat tidak mudah untuk membawa watak seorang manusia biasa yang sering kita lihat dalam hidup seharian untuk dibina bagi dan memperlihatkan “kegilaan” dalam satu kawalan kaedah lakonan disebabkan penderaan jiwa.

Raut wajah dan bentuk badan Phoenix adalah faktor pemberat kepada Twombly dan Fleck dalam menggambarkan dinamika komposisi watak dengan kompleksiti psikologi kekecewaan, kemarahan dan pemberontakan secara sunyi serta bersendirian.

Kehebatan Fleck sebagai Joker serta kemanisan Twombly sebagai penulis romantis yang gagal dalam rumah tangga adalah kerana elemen auteur Phoenix pada kedua-dua karektor.

Tanpa kesedaran, filem Phoenix, Phillips dan Jonze tidak akan dapat memberikan impak kepada sesiapa.

Kehebatan Phoenix memperincikan character behaviour secara visual pada karektornya melalui pendekatan realisme menzahirkan keparahan jiwa dan kesengsaraan perasaan terhadap manusia dan dunia cukup liar. Ia bukan sesuatu yang biasa.

Sekarang kita tahu bahawa Twombly adalah Fleck dan Fleck sebenarnya adalah Phoenix yang sangat luar biasa.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen