malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah Indonesia, tempatan disaring untuk filem Hasmah
ADS

Sutradara Indonesia yang bertanggungjawab menghidangkan kisah percintaan Allahyarham BJ Habibie dengan isterinya, Hasri Ainun Besari, ke layar lebar disenarai sebagai calon pengarah untuk menghasilkan filem berkisar hidup Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Pengarah Urusan Tune Production, Hafiz Rozlan, berkata nama Faozan Rizal dicadangkan bersama pengarah tempatan seperti Erma Fatima, Osman Ali dan Kabir Bhatia dan keputusan akan dibuat tidak lama lagi.

Di sebalik pemilihan itu, Hafiz berkata, pihaknya berpendapat tidak ada salahnya mereka menggunakan tenaga dari luar negara untuk menyiapkan filem berjudul Hasmah itu.

"Antara punca inspirasi untuk kami menerbitkan filem Hasmah ialah selepas menonton Habibie & Ainun yang digarap Faozan.

“Untuk menampilkan kisah tokoh besar dalam filem seperti ni, bukan masanya untuk saya sekadar mencuba-cuba, sebaliknya saya mesti fikirkan suatu karya berkualiti.

“Justeru, saya harus ambil pengarah dan juga pelakon yang mempunyai kredibiliti, berpengalaman dan memiliki pencapaian memuaskan untuk menggalas tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Hafiz ditemui pada majlis prapelancaran filem Hasmah di Pusat Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Kata putus belum ada

Hasmah akan dipaparkan dengan kata pikat "Bila Deh bertemu Det" dan mengabadikan kisah romantik serta pengorbanan Hasmah sebagai pendamping Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kisah hidup Siti Hasmah - yang terpaksa ‘bermadu’ dengan rakyat - memang jarang diperkatakan dari segi visual sebelum ini.

Ia dijangka memulakan penggambaran pada Mac tahun depan dengan menampilkan aktres Nad Zainal membawa watak Siti Hasmah, manakala Hasnul Rahmat menjadi Mahathir.

Filem itu dianggarkan menelan kos sehingga RM7 juta. Ia bakal mengetengahkan lokasi berkait rapat dengan kisah percintaan pasangan terbabit seperti di Kuala Lumpur, Singapura, London, Kobe di Jepun dan New York.

Menurut Hafiz, nama Faozan dicadangkan kerana pengarah itu berjaya menyiapkan Habibe & Ainun dengan baik pada 2012.

Bagaimanapun, katanya, kata putus untuk pemilihan nama pengarah itu akan dikemukakan kepada Siti Hasmah akhir minggu ini.

"Beliau yang akan menentukan siapa pengarah yang terpilih nanti,” katanya.

Sementara itu, Nad - atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin - pula berkata, asal-usul pengarah bukanlah halangan untuk penonton menyaksikan kehebatan mereka mengarah filem yang mengangkat kisah tokoh besar seperti Siti Hasmah.

“Tak boleh mengukur karya seseorang pengarah berdasarkan dari mana mereka datang sebaliknya nilailah dengan hasil kerja mereka,” katanya.

Lihat Komen