malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Berganding tangan' dengan Joker di suram Gotham
ADS

ULASAN FILEM | Selepas menonton filem Joker arahan Todd Phillips pada minggu lalu, satu perkara yang saya sedari ialah, watak badut gila yang dipaparkan kali ini sangat berbeza berbanding apa yang pernah dibawa Heath Ledger dalam filem The Dark Knight sebelum ini.

Watak antagonis Joker - ataupun Arthur Fleck - yang dibawa pelakon berkarisma Joaquin Phoenix menampilkan kelainan dan keunikannya yang tersendiri.

Malah agak janggal untuk menggelar watak Joker kali ini sebagai antihero, penjahat atau dalam bahasa komiknya sebagai seorang penyangak.

Mungkin gelaran itu hanya sesuai diberikan kepada Joker versi Ledger yang boleh disifatkan sebagai orang yang gila selepas melalui zaman kanak-kanak yang mengerikan.

Bukan mahu menidakkan lakonan bertenaga yang dipamerkan mendiang Ledger - yang berjaya memenangi Oscar dengan persembahannya itu - tetapi apa yang cuba disampaikan melalui lakonan Phoenix adalah sangat berbeza.

Latar belakang kekeluargaan mereka pun sudah begitu ketara perbezaannya, apatah lagi penceritaan dari sudut-sudut kehidupan lain yang membentuk keduanya menjadi si badut yang melakukan kacau-bilau di kota Gotham.

Sebagai contoh, ketika kecil Joker dibawa Ledger menjadi mangsa dera dan mendapat parut di mulutnya akibat ditoreh bapanya sendiri.

Berbeza pula dengan versi kali ini apabila Joker garapan Phillips ditonjolkan sebagai seorang yang mempunyai hubungan kekeluargaan sangat rapat dengan ibunya.

Malah, Phillips sendiri memberitahu bahawa mereka tidak sedikit pun mengambil pengaruh watak itu dari komik. Justeru apa yang ditampilkan kali ini adalah Joker yang serba baru.

"Kami menulis sendiri versi Joker yang ingin ditampilkan kali ini,” katanya kepada majalah Empire.

Walaupun masih mengenakan solekan tebal Joker kali ini tampil lebih berkesan dan terasa sangat dekat dengan penonton apabila dia memiliki nama sebenar, Arthur Fleck.

Dia juga menjalani kehidupan seperti orang lain di kota Gotham.

Dimusuhi orang sekeliling

Fleck tinggal di sebuah rumah yang suram di zaman kegelapan kota itu bersama ibunya yang sedang sakit. Si ibu - juga seperti orang biasa - mempunyai kerja harian untuk menampung keperluan harian.

Versi kali ini juga tidak menggambarkan Joker sebagai seorang ketua penyangak yang mempunyai ramai pengikut dan merosakkan Gotham sepertimana dilakukan Ledger dalam The Dark Knight.

Di tangan Phillips dan Phoenix, Joker hanyalah seorang badut sepenuh masa yang kerjanya adalah menghiburkan kanak-kanak malang di hospital. Selebihnya Joker mengisi masa dengan berjualan di tepi-tepi jalan.

Di sisi bertentangan, musuh utama Joker itu bukanlah seorang hero yang menggelarkan dirinya lelaki kelawar sebaliknya cuma dirinya sendiri dan masyarakat yang berada di sekeliling.

Dalam filem ini, Fleck - ataupun Joker - dilihat bergelut dengan penyakit istimewa iaitu tidak boleh menahan diri daripada ketawa, dan bertarung dengan tekanan perasaan serta masalah halusinasi yang sangat parah.

Dimarahi, ditengking dan dibelasah adalah perkara biasa dalam kehidupan seharian Fleck.

Dan harus diingat, Joker kali ini tidak ditengking dan dilanyak oleh seorang hero yang cuba menyelamatkan kotanya daripada kejahatan, sebaliknya si badut berkenaan diperlakukan seperti binatang oleh orang yang berada di sekelilingnya.

Tekanan-tekanan dan sisi-sisi kemanusiaan yang dipamerkan melalui watak Joker inilah yang menjadikannya ia lain dan berbeza dari apa yang dipersembahkan oleh Ledger sebelum ini.

Konflik dan permasalahan dalam kehidupan seharian jugalah yang membuatkan karakter Joker kali ini terasa begitu dekat dengan penonton.

Berbeza dengan karakter dibawa Ledger sebelum ini yang lebih menonjol sebagai penyangak, watak diperankan Phoenix lebih menonjol sebagai perlambangan kepada apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat dunia hari ini.

Bukankah kita semua ditendang, ditumbuk dan dilanyak sehingga lunyai dalam kehidupan seharian kita sepertimana yang diterima si Joker?

Sedangkan apa yang kita mahukan hanyalah untuk masyarakat dan orang sekeliling menunjukkan sedikit kebaikan antara satu sama lain agar dunia ini menjadi tempat yang lebih baik untuk semua.

Dan itulah yang dipinta oleh Fleck sebelum dia berubah menjadi seorang gila yang mula memburu seorang demi seorang yang mentertawa dan menganiayainya sebelum itu.

Andai saja dia tidak ditertawakan dan dianiayai, watak Joker itu sendiri mungkin tidak akan pernah lahir dan semua kacau-bilau yang berlaku di kota Gotham tidak perlu berlaku.

Kita juga mungkin tidak akan dapat berjumpa dengan Bruce Wayne yang berselindung di sebalik jubah kelawarnya.


NAIMMULLAH JAYA ialah wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen