malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert RM20 hadiah Haqiem Rusli buat peminat
Diterbitkan:  Oct 5, 2019 10:07 PM
Dikemaskini: 4:32 PM
ADS

Penyanyi Haqiem Rusli tidak mempunyai masalah dengan penjualan tiket konsert mininya pada harga serendah RM 20.

Malah, tambahnya, dia mengadakan konsert terbabit demi kepuasan diri selain untuk peminat.

“Saya sedar, ada pihak mempersoalkan mengenai harga tiket, yang dikatakan terlalu murah. Memang kami menjual tiket biasa pada harga RM20, selain RM100 untuk pakej ramah mesra bersama saya.

“Saya tidak kisah apa orang hendak perkatakan. Saya mengadakan persembahan ini untuk kepuasan diri dan peminat. Saya juga bimbang, kalau harga tiket mahal, ada ke peminat yang mahu datang menontonnya? Jika harganya beratus ringgit, mungkin ada yang tidak mampu membelinya.

“Alhamdulillah, persembahan mendapat sambutan baik dan impian saya juga tercapai menerusi konsert mini ini,” katanya seperti dipetik portal BH Online hari ini.

Pemilik nama penuh, Ridzuan Haqiem Rusli turut menjelaskan persembahannya itu lebih bersifat situasi menang-menang.

“Kepuasan lebih penting daripada wang ringgit. Selama ini, peminat sendiri tidak berkira dengan saya. Mereka tidak lokek untuk mengeluarkan duit dan tetap datang memberikan sokongan walau di mana saya menjayakan persembahan.

“Jadi, kenapa saya nak berkira dengan meletak harga tinggi? Apabila peminat puas dan terhibur, ia sudah dikira nikmat besar untuk saya. Soal duit, saya tolak ke tepi.

“Selepas lebih tiga tahun aktif dalam dunia seni, apa yang saya kecapi hingga kini berkat sokongan peminat. Saya pernah jatuh, tahun lalu, namun mereka tetap utuh di belakang,” katanya.

Lihat Komen