malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
James Franco dituduh manipulasi wanita berlakon adegan seks
Diterbitkan:  Oct 4, 2019 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM
ADS

Dua wanita memfailkan saman terhadap pelakon Hollywood, James Franco atas dakwaan menjalankan sekolah perfileman palsu dengan memanipulasi wanita muda supaya berbogel dalam uji bakat atau melakukan adegan seks.

Sarah Tither-Kaplan dan Toni Gaal memfailkan saman itu di Mahkamah Los Angeles semalam.

Dalam penyata tuntutan tersebut, kedua-dua bekas pelajar itu mendakwa pelakon 127 Hours dan Oz The Great and Powerful itu bersama lelaki lain - yang mempunyai kaitan dengan syarikat penerbitannya - melakukan gangguan seksual, diskriminasi, penipuan, dan salah laku.

Mereka juga mendakwa, sesiapa yang bersedia untuk diambil kesempatan di hadapan Franco dan rakannya akan diberi layanan istimewa, malah adegan itu turut dirakam.

“Franco dan rakan sekerjanya mengumpan bakal pelakon dengan kerjaya dalam bidang perfileman serta televisyen.

“Mangsa mereka juga diperdaya untuk membayar wang menerusi sekolah lakonan palsu (Studio 4) yang dibina bertujuan memanfaatkan Franco dan syarikat penerbitannya.

“Peluang seseorang wanita itu juga lebih cerah (untuk mendapat tempat dalam mana-mana filem atau televisyen) sekiranya mereka bersetuju melakukan aksi seksual, bogel dan melakonkan adegan seks biasanya secara beramai-ramai,” menurut tuntutan itu.

Sarah dan Toni berkata, mereka mendaftarkan diri untuk memasuki sekolah lakonan itu pada 2014, lapor Reuters.

Franco dan rakan kongsinya Vince Jolivette membuka sekolah studio 4 pada 2014 yang mempunyai cawangan di New York dan Los Angeles.

Berdasarkan penyata tuntutan itu lagi, pelajar digalakkan membayar AS$750 bagi kelas adegan seks di sekolah berkenaan dan perlu melakukan uji bakat secara bogel atau separuh bogel.

Bagaimanapun, peguam Franco, Michael Plonsker berkata dalam satu kenyataan, anak guamnya belum lagi menerima saman berkenaan malah menganggap ia ‘tidak tepat.’

“Franco bukan saja akan mempertahankan diri, malah akan menuntut ganti rugi daripada plaintif dan peguam mereka kerana memfailkan saman yang hanya bertujuan meraih publisiti,” katanya.

Nama Franco juga popular kerana watak dibawakannya dalam filem seperti Spider-Man trilogi, Eat Pray Love, Rise of the Planet of the Apes dan The Disaster Artist.

Dia juga pernah dicalonkan untuk anugerah Pelakon Terbaik melalui filem 127 Hours.

Lihat Komen