malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Azizi Chunk tak beri peluang pengkritik terlampau
ADS

Pengarah Azizi ‘Chunk’ Adnan mengakui dia enggan memaafkan pengkritik trailer filem di YouTube yang mengaitkan naskhah terbaru arahannya, Hero: Jangan Bikin Panas dengan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bukan itu saja, kata Azizi, antara alasan lain membuatkan dia sukar memaafkan individu terbabit ialah kerana kritikannya didakwa menggunakan bahasa tidak beradab.

“Sudah lah filem ni tak ada kena-mengena dengan allahyarham Adib, dia kritik pula macam sudah tonton filem ni secara keseluruhan.

“Adakah ini gaya generasi muda zaman sekarang? Kritik menggunakan ayat kurang ajar dan asyik cakap karya pengarah tempatan macam sampah dan bodoh.

"Walaupun pemuda tu sudah minta maaf, saya tak akan memaafkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kritikan sebegitu juga menurut Azizi, boleh menjatuhkan perniagaan seseorang.

"Konon kritik jujur nak bantu industri. Kalau macam ni lingkuplah perniagaan," katanya.

Pemilik akaun YouTube yang dimaksudkan itu pada kebiasaannya akan mengulas sesebuah filem berdasarkan trailer yang ditontonnya.

Dia sebelum ini memuat naik ulasan berhubung Hero: Jangan Bikin Panas, namun kritikannya itu juga dibuat berdasarkan trailer filem berkenaan saja.

Kemudian pemuda terbabit memuat naik klip video berasingan sebagai tanda dia memohon maaf atas keterlanjurannya dalam berkata-kata.

Namun, hasil semakan Malaysiakini mendapati, kedua-dua video berkenaan sudah diturunkan.

Filem Hero: Jangan Bikin Panas yang tayangannya bermula hari ini berkisarkan watak utama, Zafrul dijayakan Hisyam Hamid cuba merungkai insiden kebakaran di sekolah tahfiz.

Bersama-sama dua lagi rakan bomba yang baru dikenalinya, Amar Mustar (Bell Ngasri) dan Adam Fanifinali (Mark Adam), mereka berjaya merungkai sindiket pembakaran dan urusniaga pembelian tanah secara haram didalangi rangkaian kongsi gelap antarabangsa.

Kecekalan, pahit getir dan pengorbanan tiga sahabat bomba berkenaan bertarung nyawa menghadapi bahaya dan agenda pihak tertentu merupakan intipati dihidangkan Azizi dalam filem ketiganya itu.

Untuk rekod, Muhammad Adib 24, meninggal dunia akibat tindakan jenayah dua atau tiga individu ketika dikejarkan ke lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, November lalu.

Sementara itu,  Azizi - yang pernah mengarah filem Antoo Fighter: Amukan Drakulat dan Kapoww itu - berkata, luahan dibuat tidak bermakna dia seorang yang tidak boleh menerima sebarang teguran.

Katanya, teguran wajar dinyatakan melalui cara berhemah demi memperbaiki kelemahan seseorang.

"Saya tiada masalah untuk terima kritikal tapi bijaklah mengkritik secara ilmiah.

"Cara dilakukannya itu membawa pengaruh buruk pada orang lain untuk sama-sama mengeluarkan kenyataan tidak sopan, " katanya.

Ditanya sama ada akan ada tindakan undang-undang diambil ke atas pemilik akaun YouTube terbabit, Azizi hanya menjawab ringkas.

"Memang ada bukti dan kami boleh kenakan tindakan undang-undang cuma tak buat sebab kasihan.

"Tapi kalau kurang ajar lagi kenalah tu nanti," katanya.

Lihat Komen