malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mat Sabu 'pujuk' Tok Ti hiburkan pahlawan negara
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 1:41 PM
Dikemaskini: 5:44 AM
ADS

Penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin akan memeriahkan sambutan Majlis Makan Malam Tabung Pahlawan anjuran Kementerian Pertahanan pada 21 Oktober ini.

Perkara itu dikongsikan pengguna maya Abu Bakar Mohd Rashid, yang dekat dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Abu Bakar Mohd Rashid hari ini.

Katanya, malam tadi Mohamad Sabu atau Mat dan isterinya, Normah Alwi berkunjung ke rumah Siti Nurhaliza.

“Malam tadi abang Mat dan kak Normah pi makan malam di rumah Siti Nurhaliza.

“Tujuan utama Abang Mat pi rumah Tok Ti (gelaran untuk Siti Nurhaliza) ialah untuk menjemput Tok Ti menyerikan lagi Majlis Makan Malam Tabung Pahlawan 21 Oktober ni,” katanya.

Seorang pegawai Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Kehadiran Presiden Amanah bersama isterinya dipercayai untuk memujuk penyanyi Bukan Cinta Biasa itu untuk mengubah pendirian awalnya berhubung undangan berkenaan.

Menurut Abu Bakar, sebelum ini Siti, 40, menyatakan beliau tidak dapat hadir ekoran kekangan jadual.

“Tok Ti menyatakan tak sempat hadir kerana jadualnya yang padat. Tapi bila dah abang Mat pi rumah dia, Tok Ti dan suaminya, Khalid Jiwa bersetuju meminda jadual mereka,” katanya.

Kata Abu Bakar, Siti dijangka menghiburkan penonton dengan mempersembahkan dua hingga tiga lagu pada majlis sempena menghargai jasa dan pengorbanan pahlawan negara itu.

Menurutnya lagi, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan dari isteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Pada majlis makan malam itu bonda negara Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali juga akan membuat persembahan gesekan biolanya.

“Semoga kutipan Kempen Tabung Pahlawan tahun ini akan mencipta jumlah yang lebih banyak lagi,” katanya.

Lihat Komen