malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kak Lina Pom Pom sensitif sikit-sikit je
ADS

Personaliti hiburan, Elly Mazlein berkata dia tidak akan meletakkan sebarang syarat atau garis panduan terhadap mana-mana artis yang akan bekerja dengan dirinya pada masa akan datang.

Kenyataan itu hadir selepas dia terpalit dengan isu digelar 'kereta terpakai' oleh rakan penyampai, AC Mizal ketika mengacarakan program Anugerah Bintang Popular ke-32 pada minggu lalu.

“Bila kita meletakkan garis panduan untuk bekerja, nanti lambatlah (peluang) kerja itu datang.

“Kita juga kena ingat ini adalah periuk nasi kita.

“Sensitif sikit-sikit sudahlah. Kalau kita nak sedih sikit itu okay tapi selepas itu kena move on,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Petaling Jaya kelmarin.

Ditanya sama ada kejadian tersebut membuatkan dirinya serik untuk mengacara, Elly yang popular dengan gelaran Kak Lina Pom Pom itu menjelaskan dia tidak menganggap perkara tersebut sebagai halangan untuk terus berkecimpung dalam dunia pengacaraan.

“Tidak, tidak serik. Kalau serik kita tidak profesional,” katanya.

Gelaran used car atau kereta terpakai itu dipercayai merujuk kepada status janda yang dipegangnya sejak Okt 2015.

Elly yang kini berusia 38 tahun bagaimanapun dijangka akan melangsungkan perkahwinan kali kedua bersama jejaka pilihan yang berusia 10 tahun lebih muda daripadanya pada tahun hadapan.

Dia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama, Azmi Hatta namun berpisah kurang setahun kemudian.

Mengulas lanjut mengenai insiden di mana dia dipanggil dengan gelaran kereta terpakai , Elly menjelaskan dia berterima kasih kepada semua peminat dan warganet yang rata-rata memberikan sokongan moral kepadanya.

Dia memberitahu tidak menjangka masih ramai mengambil kisah tentang dirinya namun pada masa sama tidak mahu menyalahkan sepenuhnya kepada AC Mizal.

“Kita kena faham juga kadang-kadang kita manusia ini tak terlepas dari melakukan kesilapan,” katanya.

'Semua dah besar panjang'

Walaupun tidak terlalu mengambil hati tentang perkara itu, dia mengingatkan rakan-rakan artis agar lebih berhati-hati dalam berjenaka kerana mungkin sesetengah orang terutamanya ibu tunggal akan tersinggung dengan kenyataan sebegitu.

“Kita ini hidup bermasyarakat, mungkin sesetengah orang akan okay dengan jenaka sebegitu, tetapi orang macam Kak Lina mungkin akan berasa sedih sedikit,” tambahnya.

Dia bagaimanapun memberitahu insiden yang menimpa dirinya itu tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk artis bergurau di atas pentas tetapijelasnya perlulah menggunakan perkataan yang sesuai.

“Semua dah besar panjang dan tahu mana (jenaka) yang sesuai atau tidak.

“Bila dah berlaku isu macam ni, mungkin semua orang belajar sesuatu,” katanya.

Lihat Komen