malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Uncle Ah Ming terharu diabadikan sebagai mural
ADS

Nama Uncle Ah Ming bukanlah asing buat penduduk Labuan yang sering menghilangkan dahaga mereka dengan air cincau dicampur kacang dan jagung yang dijualnya.

Kegigihannya mencari nafkah lebih 20 tahun dengan berniaga air cincau di Jalan Muhibbah, berdekatan Jalan Tun Mustapha, membuatkan potretnya dipilih Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk diabadikan sebagai mural di tengah-tengah bandar Labuan.

Ia sebahagian program Seni Jalanan dan Arca Kitar Semula oleh Balai Seni Negara - agensi bawah kementerian itu - bertujuan mengangkat potensi pelancongan baru menerusi seni visual menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Diminta mengulas pemilihannya itu, Uncle Ah Ming atau nama sebenarnya Teo Soon Bin @ Teo Soon Ming berkata dia terkejut apabila dimaklumkan potretnya akan dijadikan sebagai mural.

“Tak sangka. Saya terharu kerana menjadi insan terpilih untuk dilukis,” katanya ketika ditemui di majlis penutup Program Seni Jalanan dan Arca Kitar Semula (Upcyle) di Labuan kelmarin.

Malah dua berkata saiz potret yang dilukis juga tidak seperti yang dibayangkan sebelum ini.

“Pada mulanya saya ingat kecil saja, tak sangka pula mural itu begitu besar selepas ia disiapkan pelukis,” katanya lagi.

Potretnya dilukis oleh Mohd Nazim Kula, 32 tahun.

Seramai 10 pelukis - lima dari Kuala Lumpur dan lima lagi dari Labuan dan Sabah - bergandingan menghasilkan 12 mural pada bangunan sekitar Lorong Tanjung Pasir dan jalan utama lain di Labuan.

Satu lukisan tiga dimensi turut dihasilkan di perkarangan Muzium Labuan.

Selain Uncle Ming, legenda bola sepak kelahiran Labuan, Hassan Sani, juga terpilih untuk dipotret di dinding bangunan terminal feri di situ.

Seorang pengkarya kitar semula pula bekerjasama dengan kira-kira 100 pelajar dari 11 buah sekolah sekitar Labuan bagi menghasilkan arca dengan menggunakan bahan-bahan terbuang. Arca itu didirikan di sekitar Kompleks Sukan Air Labuan.

'Pernah nak tutup'

Uncle Ah Ming turut menceritakan perihal keluarganya yang berhijrah ke Labuan dari China.

Menurutnya, sudah lebih 40 tahun dia bekerja sebagai peniaga air cincau selepas mengambil alih perniagaan tersebut daripada bapanya.

Dia dibantu isterinya Liew Siew Eng, 59, yang akan menyediakan ramuan cincau untuk dijual setiap hari.

"Pernah nak tutup sebab ayah tak sihat. Selepas dia meninggal dunia, saya teruskan perniagaan bapa,” katanya yang kini berusia 62 tahun.

Katanya lagi, isterinya Liew Siew Eng, 59, akan membantu menyediakan ramuan cincau untuk dijual setiap hari.

Sementara itu, Timbalan Menteri Motac Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang menutup Program Seni Jalanan dan Arca Kitar Semula itu berkata, kementerian membelanjakan kira-kira RM80,000 untuk projek berkenaan.

“Kami berharap program sebegini dapat membantu mencantikkan pulau ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Walaupun lukisan mural akan pudar selepas lebih 10 tahun malah jarang artis akan memperkemas semula karya mereka, imej berkenaan tetap akan menjadi identiti Labuan yang boleh dibanggakan,” katanya.

Lihat Komen