malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Rosak Mak Yong jika persembahan oleh lelaki saja, kata aktivis
ADS

Cadangan kerajaan Kelantan yang berharap penggiat seni di negeri itu tidak menjadikan peraturan hiburan termasuk Mak Yong sebagai halangan untuk mengembangkan bakat kesenian mereka disambut baik.

Bagaimanapun seorang aktivitis Mak Yong, Prof Dr Farok Zakaria berpendapat usaha itu agak janggal sekiranya dilakukan dalam situasi hanya lelaki sahaja yang terlibat dalam pementasan Mak Yong.

"Pada saya, hasrat yang dicadangkan itu bagus, tetapi dalam situasi yang lain, ia sangat pelik dan janggal apabila penggiat Mak Yong lelaki menyanyikan lirik yang biasanya hanya orang wanita sahaja menyanyikan sebelum ini.

"Saya berpendapat jika lelaki bertindak demikian, ia sudah dikira merosakkan Mak Yong. Jadi saya tegaskan saya tetap suka Mak Yong perlu melibatkan wanita," katanya kepada Bernama hari ini.

Farok berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata tiada halangan untuk penggiat seni menjalankan persembahan hiburan termasuk Mak Yong sekiranya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mohd Amar turut berkata setakat ini, kerajaan negeri tidak membenarkan wanita terbabit dalam persembahan teater kecuali jika hanya membabitkan penonton wanita saja.

Farok, yang juga mantan Pengarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, Mak Yong adalah satu seni persembahan warisan di Kelantan yang dipersembahkan dalam masyarakat Kelantan sejak turun-temurun, jadi usahlah merosakkan kriteria dan kaedah persembahan itu.

Profesor tamu Universiti Prince of Songkhla, Pattani, Thailand, itu kini masih aktif berkecimpung dalam bidang kesenian Mak Yong.

"Berbeza di Pattani, kita masih mengekalkan persembahan Mak Yong seperti sedia kala sebab bagi saya, wanita adalah ciptaan Allah.

"Sehingga sekarang, di Pattani orang masih meminati Mak Yong dan tidak puas melihat persembahan ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen