malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lupakan politikus, ayuh belajar dari seni dan filem
ADS

ULASAN | “Semua ini adalah salah. Saya tidak sepatutnya berada di atas sini. Saya seharusnya sedang berada di sekolah di seberang laut sana. Namun, anda semua datang kepada kami - orang muda - untuk menagih harapan. Beraninya kalian!”

Sewaktu hampir enam juta rakyat Malaysia enak menghabiskan masa, tenaga dan tumpuan bersorak-sorai meraikan kemenangan artis yang dijulang sebagai paling popular sambil berketawa dengan lawak “kereta second hand”, ada seorang remaja 16 tahun sibuk bercakap tentang pemanasan global dan ancaman perubahan iklim dunia di benua yang lain.

Sejak 1970 lagi dunia ini telah pun mencatatkan kehilangan sekitar 60 peratus pelbagai spesies haiwan vertebrata serta berdepan dengan realiti kepupusan 80 peratus serangga melalui bermacam aktiviti pencemaran yang disumbangkan oleh kita yang bernama manusia.

Pada Disember tahun lalu, Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (Nasa) melaporkan bahawa pencairan ais di Greenland - iaitu litupan ais kedua terbesar selepas Antartika - dijangka akan meningkatkan lagi paras air dunia sehingga 0.8 milimiter.

Selain Greenland, Antartika mencatatkan pencairan ais yang lebih menggerunkan.

Secara purata 40 bilion tan ais mencair setiap tahun yang direkodkan sejak 1979 sehingga 1990. Kemudian jumlah kehilangan glasier dan ais dari proses pencairan itu mencatatkan peningkatan kepada 252 bilion tan setahun bermula 2009 sehingga 2017.

Ada banyak kajian dan laporan pelbagai agensi menyatakan kegusaran mereka. Ini kerana terdapatnya laporan yang menyatakan paras air laut akan meningkat sehingga 1.8 meter menjelang 2100.

Amaran sudah ada lama

Ia sekaligus bakal akan menenggelamkan beberapa bandar dan petempatan serta memberi kesan kehancuran yang serius terhadap jutaan penduduk yang tinggal di beberapa bandar berhampiran pantai.

Lapisan ais di Antartika dan Greenland akan terus menipis, mencair, dan hilang untuk selamanya. Ia akan kekal menjadi air laut yang bakal menenggelamkan banyak daratan sekali gus membunuh dan menghilangkan banyak lagi spesis hidupan.

Semua kehilangan yang telah dan akan berlaku ini sebenarnya adalah suatu peristiwa kematian besar-besaran. Kehilangan kekal yang mengkucar-kacirkan kapasiti diversiti sistem semula jadi bumi yang sepatutnya menyediakan kehidupan sejahtera kepada manusia.

Artikel ini tidak akan meneruskan bebelan tentang berapa hektar hutan hujan tropika kita yang hilang hasil dari keserakahan pembalakan. Atau entah berapa billion tan karbon dioksida yang disebut jutaan kali - dengan istilah CO2 oleh Greta Thunberg - yang tiap hari kita lepaskan.

Kerana - sebagaimana kata Greta budak 16 tahun dari Sweden itu - sains telah sekian lama meramal, menjelas dan memberikan kita amaran.

Baru-baru ini, melalui ucapannya kepada pemimpin dunia di Bangsa-bangsa Bersatu, Greta dengan nada tegas, keras dan penuh beremosi berkata: "You have stolen my dreams and my childhood with your empty words. Yet, I’m one of the lucky ones. People are suffering, people are dying. Entire ecosystems are collapsing. We are in the beginning of a mass extinction and all you can talk about is money and fairy tales of eternal economic growth. How dare you?”

Ucapannya itu ditujukan kepada seluruh pemimpin dunia yang sebahagiannya ada dicelah-celah kita. Mereka sedang kesibukan mengatur jadual untuk ke Tanjung Piai bagi mempersiapkan joran dan mata kail.

Kelam kabut merangka strategi. Misalnya umpan jenis apa yang paling sedap untuk mereka guna.

Dalam keadaan dunia yang sedang binasa dan menunggu kehancuran total akibat seribu satu asakan krisis malapetaka - seperti migrasi besar-besaran manusia yang akan menghasilkan jutaan pelarian, krisis makanan serta kebuluran dan krisis nilai serta moral - orang politik tetap juga naik syahwatnya dengan pilihan raya merebut kekuasaan.

Itu sahaja mereka ini mahu tunjuk dan ajar.

Selain daripada lebai yang mengajak pengikutnya mengaji cara membersihkan duit serta belajar kaedah membonsaikan pemikiran rakyat tanpa dikesan, orang politik lain memang tidak ada benda lain yang boleh mereka tawarkan.

Buktinya, setelah jadi menteri mereka tetap terus-menerus berantakan.

Belajar dari gagak

Justeru marilah kita lupakan mereka yang melalaikan itu dan mula belajar daripada seniman dan filem-filem para karyawan.

Al-Quran - pada surah al-Maidah - ada menukilkan tentang kisah dua orang anak Adam: Qabil dan Habil.

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa.”

Peristiwa itu telah membuatkan Qabil serta-merta jadi hilang pertimbangan. Kejahatan, rasa cemburu dan dendam tersimpan lama serta rasa sakit hati tidak terkata menguasai dia sepenuhnya.

Tanpa berfikir lama, Qabil segera mengambil batu dan menghentak dengan sepenuh rasa benci dan marah yang bersarang dalam hatinya sampai Habil rebah terkulai tak benyawa.

Qabil terpinga-pinga, menggelabah tak tahu nak buat apa. Maklumlah kerana itu adalah peristiwa pembunuhan dan kematian pertama di atas muka bumi. Qabil kala itu belum pernah berjumpa satu helai silibus pun tentang apa yang harus dilakukannya.

Dengan perancangan tuhan juga, Qabil diperlihatkan secara visual dengan mata kepala bagaimana dua ekor burung gagak yang sedang ganas saling berebut secebis makanan tak ubah sebagaimana para pemimpin kita yang tak berhenti saling memburukkan satu sama lain untuk berkuasa.

Babak perebutan itu sudahnya berakhir dengan kematian gagak yang lemah. Qabil terus memerhati dengan penuh minat.

Dia melihat gagak yang menang menghabisi makanan yang dimenanginya. Selepas kekenyangan, gagak itu pun mengais-ngais tanah memperlihatkan kepada Qabil yang bingung apa yang perlu dilakukan sehingga datang kepadanya ilham untuk menimbus mayat saudaranya.

Visual yang mengispirasikan Qabil itu sebenarnya adalah satu babak dalam 'filem'. Visual yang mengilhamkan Qabil itu hakikatnya satu 'lukisan' yang penuh dengan warna.

Lupakanlah politikus dengan politik gila mereka, mari kita mula belajar dari seni dan filem.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen