malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Cinta Blue Valentine dan politik Hari Malaysia
ADS

ULASAN | Hidup ini memang lucu, selucu parti politik yang menggunakan individu yang telah meninggal dunia demi kepentingan dan kelangsungan politik mereka.

Jika suatu negara diumpamakan bagai sebuah rumah tangga, tentu saja cinta itu adalah politiknya. Sementara pemusnahnya adalah kecurangan-kecurangan manusia pada setia.

Kesejahteraan yang dimanafaatkan sekelian ramai manusia daripada politik dalam sebuah negara tidak ada bezanya dengan cinta dalam sebuah rumah tangga. Malah derita daripada kejahatan yang ada pada cinta itu setara politik dalam sebuah negara sewaktu menimpakan bencana.

Peperangan kuasa politik dan cinta mampu saja memberi banyak derita dan seksa kepada seluruh isi negara dan keluarga. Malah ia dengan mudah mampu membinasakan keseronokan anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa, dan orang tua yang hanya menginginkan bahagia bersama orang yang mereka cinta.

Selain mathnawi Rumi serta nashkah-nashkah pentas Shakespeare, Plato, Socrates dan Aristotle serta Kierkegaard, Nietsche dan Sartre juga pernah bercakap, menulis dan membincangkan perkaitan cinta dengan kehidupan manusia.

Kebanyakan idea pemikiran mereka adalah senada dengan Slavoj Žižek yang pernah berkata “The one measure of true love is: you can insult the other.”

Semua tahu cinta itu sekejam cinta yang telah banyak mencedera dan membunuh manusia.

Cinta adalah suatu pesimistik pada sebuah idelisme. Seperti politik yang menjanjikan keindahan dan bahagia, tapi sekejapan saja mimpi indah itu boleh bertukar jadi raksasa yang menghadiahkan banyak derita.

Negara jadi porak-peranda

Politik dan cinta adalah sama. Ia memiliki kekuatan dan upaya untuk memaksakan kehendak, keinginan dan nafsu luar biasa manusia kepada yang lainnya demi sesuatu yang tidak akan diketahui mengapa.

Sebagaimana politik, ironinya cinta juga akan senantiasa diancam oleh kecurangan-kecurangan manusia. Ia akan selalu dibantai dan cuba dibinasa oleh tujuh lapan manusia yang bernafsu buaya.

Terkinja-kinja merebut kuasa sehingga sanggup memangsakan siapa saja hingga tergamak mengkhianati kesetiaan pada politik yang suci bak cinta.

Ketidaksedaran kita terhadap seribu satu pengkhianatan pada kesetiaan politik inilah yang telah menyebabkan kekuatan negara ini jadi porak-peranda.

Ketiadaan setia pada politik itu tanpa sedar menyebabkan hubungan antara Melayu, India dan Cina tidak lagi selesa. 

Hingga menyebabkan keakraban kita dengan orang Iban, Murut dan Kadazan terasa begitu canggung. Ia membawa kepada pertalian kita dengan suku Bateq, Temiar dan Semai terasa sebegitu asing.

Bahagia yang sekian lama terbina atas nama perpaduan akhirnya berjaya dikalahkan oleh kecurangan manusia yang tamak sehingga memaksa kita mengundurkan masa untuk membina semula apa yang sudah ada.

Dosa kita adalah kerana menyerahkan segala urusan rumah tangga kepada sang koruptor. Kita berikan hampir seluruh hidup kita pada mereka yang tak peduli tentang kesetiaan cinta dan kebahagiaan sebenar berumah tangga.

Sehingga kita jadi lalai dan tidak mampu membuka mata untuk menyedari betapa khianatnya mereka kepada politik yang sebenarnya.

Kita mudah terperdaya dengan slogan-slogan perpaduan yang ada kala bersemangat agama dan ada ketika berbunyi nasionalisme seperti himpunan penyatuan ummah atau piagam muafakat nasional yang konon mahu membina semula kekuatan bangsa yang telah tiada.

Jiwa kita mudah teruja dengan kempen-kempen yang mendakwa produk buatan selain ummat kita harus diketepikan dulu seandainya kita mahu berjaya. 

Kita bahagia melihat pemencilan mazhab, aliran pemikiran atau bangsa selain kita diserang oleh pihak berkuasa dan jabatan agama atas alasan sesat dan bahaya.

Hingga pada akhirnya kita jadi masyarakat yang mudah diperdaya oleh kecurangan-kecurangan politik. Sampai rela pasrah melihat mak yung, main outeri, menora dan wayang kulit parah diseksa sekumpulan politikus dan agamawan yang sempit gagasan fikiran falsafah seni budaya.

Beban membawa luka

Kita tak pernah mahu berusaha untuk jadi pencinta yang paling setia sebagaimana setianya Dean Pereira pada Cindy Heller dan Frankie yang bersungguh mempertahankan wilayah bahagia keluarganya dalam filem “Blue Valentine” arahan Derek Cianfrance.

Dean Pereira tidak mudah menyerahkan kuasa pada takdir dan manusia lain walau hidupnya serba tak kena. Latar pendidikan yang tak seberapa tidak pernah menjadikan dia seorang lelaki, suami dan ayah yang tidak berguna.

Dia malah setia dengan cinta dan keluarganya serta berusaha sedaya yang ada untuk mempertahankan kedaulatan bahagia keluarga dengan bermacam usaha.

Keistimewaan filem “Blue Valentine” adalah persembahan sikap serta sisi pandangnya terhadap cinta dan setia pada rumahtangga.

Pergelutan hidup Dean dan isterinya - Cindy - dalam keluarga banyak memberi erti pada pemaknaan semula makna cinta yang penuh setia dalam sebuah keluarga.

Konflik rumah tangga mereka umpama kemelut sebuah negara yang begitu komplikated dengan bermacam isu ras dan identiti bangsa. 

Sarat dengan pelbagai hal dan bermacam cerita dari sejarah silam yang tidak pernah diurus dan diselesaikan sejak sekian lama sehingga akhirnya menjadi beban yang membawa luka.

“Blue Valentine” berjaya merakamkan realiti sebuah hubungan dalam rumah tangga dengan suatu rasa cinta yang langka serta diletak pada luar dari sisi konvensional biasa tentang subjek yang dibawakannya.

Visual setiap babak dan kata setiap rangkap dialog yang diucap oleh Dean, Cindy dan Frankie mendatangkan seribu satu rasa dan makna tentang betapa kompleksnya institusi kecil yang kita semua panggil sebagai rumah tangga sehingga keluarga-keluarga kecil ini menjadi suatu institusi yang lebih rumit membentuk komuniti, masyarakat dan menjadi sebuah negara.

Filem itu mempersoalkan tentang keupayaan setia terhadap cinta sejak ianya berputik, berbunga dan membuahkan isinya. 

Dinamika perwatakan Dean dan Cindy dikuatkan oleh Frankie sebagai motivasi kesetiaan cinta sambil disumbatkan dengan bermacam kompleksiti wacana yang membicarakan tentang takdir yang tidak tersangka.

Impian, harapan dan saki-baki cita-cita masa depan yang bermain di sekeliling halaman rumahtangga yang mereka mendapkan berlalu pantas dalam masa. Telah menjadi beban tanggungjawab yang kerap memanaskan hati dan jiwa.

Franky adalah anak hasil dari ketelanjuran hubungan cinta remaja Cindy bersama Bobby yang pernah cuba dia gugurkan. Idea penceritaan tentang perkaitan hidup dengan takdir yang tidak tersangka serta prinsip peribadi dan gerak hati Cindy sebagai seorang wanita yang matang, tabah dan pintar begitu ikonik dalam filem ini.

Kehadiran Dean dalam hidup Cindy adalah suatu lambang bahawa cinta sememangnya mampu menyelamatkan manusia dari binasa. 

Rumah tangga yang mereka bina memang telah banyak dinoda kerosakan oleh masa, sehingga Cindy tidak sanggup lagi untuk setia. Sesetia Dean pada cinta terhadap keluarganya.

Derek Cianfrance berjaya merakamkan momen dan visual yang penuh dengan erti dan makna bahawa keluarga adalah sebuah negara. Realisme dalam dramanya adalah suatu keanehan cinta yang setara politik membinasakan sebuah rumah tangga apabila kita semua khianat pada setia.

Lantas kerana itu kita perlu pintar dan bijaksana menguruskan seribu satu pembodohan yang akan dijual saban hari dalam kehidupan rumahtangga kita.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen